KUALA LUMPUR: Pemandu yang mengambil atau menggunakan dadah sintetik seperti Piu Piu dan Magic Mushroom tidak lagi mudah terlepas daripada tindakan penguatkuasaan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan kit ujian air liur di lokasi sekatan jalan raya (SJR).
Penggunaan kit saringan itu membolehkan polis mengesan penggunaan dadah dengan lebih pantas di lokasi sebelum tindakan lanjut diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.
Langkah ini diambil berikutan kejadian-kejadian kemalangan yang dipercayai banyak membabitkan pengguna jalan raya yang khayal akibat menggunakan dadah sintetik berkenaan yang dicampurkan ke dalam rokok peranti elektronik atau vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, apa yang membimbangkannya, terdapat pengguna jalan raya yang memandu kenderaan sambil menghisap dadah sintetik yang dimasukkan ke dalam vape ini tanpa disedari bahawa diri mereka telah khayal secara perlahan-lahan.
Katanya, kedua-dua bahan itu bukanlah nama dadah tetapi merupakan satu terma untuk pasaran dan promosi dadah jenis cecair sintetik yang dimasukkan dalam peranti vape.
“Di negara kita juga sudah berlaku kejadian kemalangan yang kita percaya ianya berpunca daripada mereka yang menghisap dadah cecair sintektik dalam vape ini.
“Apa yang ingin saya tegaskan ialah bahawa dadah sintetik yang menggunakan nama komersil Piu Piu dan Magic Mushroom ini mudah diperoleh sama ada melalui pembelian secara dalam talian, di pusat-pusat hiburan atau di dalam kalangan mereka yang menggunakan dadah berkenaan.
“Kesan daripada pengambilan dadah ini, bakal menyebabkan penggunanya khayal hingga hilang pertimbangan kewarasan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hussein berkata, sekiranya perkara ini tidak dikawal dengan segera, pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah kemalangan jalan raya akibat daripada pengambilan dadah ini bakal mencatatkan peningkatan sekaligus menyebabkan lebih ramai nyawa terancam terutama pengguna jalan raya lain.
“Ini adalah suatu perkara yang amat membimbangkan, justeru kami memohon dan menggesa kerajaan untuk lebih serius mengharamkan penggunaan vape ini sekaligus memudahkan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal penyalahgunaan dadah ini.
“Kita (JSJN) juga memohon pertimbangan kerajaan untuk meluluskan peruntukan pembelian kit ujian air liur berkenaan sekaligus dapat menggunakannya dalam SJR menjelang penghujung tahun ini,”jelasnya.
PDRM juga turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam mengatasi masalah ini.
Terdahulu, Hussein menyatakan kebimbangannya mengenai peningkatan penggunaan dadah sintetik yang dikenali sebagai Piu Piu dan Magic Mushroom.
Katanya, selain pengguna jalan raya, dadah berkenaan juga turut dikesan digunakan oleh golongan pelajar sekolah menengah.
Untuk rekod sepanjang tahun lalu, sebanyak 108 kes dengan 138 tangkapan di seluruh negara dilakukan atas kesalahan penggunaan cecair dadah sintetik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan mengejutkan setakat 10 Jun tahun ini, apabila sebanyak 168 kes dikesan dengan 267 tangkapan dilakukan. – UTUSAN










