Kes rasuah PTD: 23 jam mewah, 15 barang kemas jadi milik kerajaan

Kes rasuah PTD: 23 jam mewah, 15 barang kemas jadi milik kerajaan

Hafizuddeain
MUHAMMAD Hafizuddeain Jantan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan 23 utas jam tangan mewah jenama Rolex dan 15 barang kemas yang disita SPRM daripada adik ipar bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, menjadi hak kerajaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rosli Ahmad selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan kerana tiada mana-mana pihak tampil menuntut semua barangan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat berkata, mahkamah membenarkan permohonan pelucuthakan selepas tiada individu hadir pada prosiding yang ditetapkan bagi tuntutan pihak ketiga.

“Mahkamah telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak harta itu, namun tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta tersebut,” katanya kepada selepas prosiding, hari ini.

Peguam bela, Muhammad Kausar Mohd. Khairi yang mewakili adik ipar bekas PTD, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin turut mengesahkan perkara itu.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan SPRM untuk menyiarkan warta mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memanggil mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap harta tersebut supaya hadir ke mahkamah.

Pada 4 Mei lalu, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis pelucutan hak terhadap Nor Shahira Atirah bagi memohon supaya 23 utas jam tangan mewah dan 15 barang kemas yang disita itu dilucut hak kepada kerajaan.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan pendakwa raya berpuas hati harta alih yang disita itu wajar dilucut hak walaupun tiada pendakwaan jenayah dibuat di bawah akta berkenaan.

Menurut pemohon, harta tersebut dipercayai diperoleh hasil daripada atau mempunyai kaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN