KUALA LUMPUR: Tribunal Antibuli dilancarkan hari ini untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu diambil selepas proses libat urus melalui 12 sesi dialog awam di seluruh negara, hampir 3,000 pemegang taruh dan lebih 700 maklum balas awam.
Katanya, keperluan penubuhan tribunal bersandarkan lebih 14,000 kes buli dilaporkan di sekolah setiap tahun dan kesan terhadap kesejahteraan mental dan emosi mangsa.
“Mereka tidak boleh menganggap bahawa buli itu sebagai suatu perkara yang remeh-temeh.
“Jadi kalau katakan dia berlaku dalam peringkat sekolah, sekolah dipertanggungjawabkan untuk selesai tetapi kalau sekolah tidak selesaikan, mana-mana pihak tidak berpuas hati boleh datang kepada tribunal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Tribunal Bagi Antibuli di sini, hari ini.
Tribunal itu diwujudkan berdasarkan Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 (Akta 876) yang bertindak sebagai sebuah agensi khusus untuk menangani, mengadili dan memutuskan kes-kes berkaitan salah laku buli secara komprehensif, pantas serta berkesan.
Pelancaran itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk membanteras gejala buli sama ada lisan, fizikal, sosial mahupun siber yang kian meruncing dan mengancam kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Azalina berkata, 56 anggota terlibat dalam Tribunal Antibuli terdiri daripada pakar perundangan dan pakar kanak-kanak.
“Mereka ini akan bertindak sebagai panel prosiding dalam mengendalikan setiap penghakiman secara bebas dan profesional,” katanya.
Azalina berkata, kerajaan menggalakkan aduan secara dalam talian bagi memudahkan mangsa buli, selain mempercepat tindakan terhadap mereka yang terlibat.
“Dengan adanya permohonan dalam talian untuk membuat aduan, dengan adanya tribunal secara fizikal, ada bilik perbicaraan, ia bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada anak-anak di luar sana bahawa keseriusan sifat buli.
“Kita nak menggalakkan masyarakat, terutama sekali kanak-kanak melihat kepada permohonan secara dalam talian, sebenarnya ini adalah pendekatan yang sangat penting supaya mereka mempunyai kesedaran,” katanya. – UTUSAN










