PETALING JAYA: Kerajaan memperkenalkan Pakej Daya Tahan Ekonomi Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE) sebagai langkah melindungi kebajikan pekerja serta mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pakej tersebut diperkenalkan selepas Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) membuat analisis pasaran buruh dan simulasi impak krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat terhadap peluang pekerjaan serta risiko kehilangan pekerjaan.
Katanya, PACE diyakini mampu menyokong daya tahan ekonomi negara dan pasaran buruh secara mampan melalui pelaksanaan empat inisiatif utama.
“Antara inisiatif tersebut ialah kesiapsiagaan perlindungan sosial melalui pengukuhan jaringan keselamatan menerusi faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pemerkasaan latihan dan penempatan pekerjaan melalui Inisiatif Dana PACE oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp.).
“PACE turut memberi tumpuan kepada pengupayaan pekerja gig dengan memperluas akses kepada latihan kemahiran serta memperkukuh perlindungan sosial pekerja gig termasuk sektor e-hailing dan p-hailing oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
“Selain itu, pakej berkenaan merangkumi pemantapan bakat muda dan ketahanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelaksanaan Geran Padanan Latihan Industri PMKS oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp),” katanya dalam jawapan bertulis dalam persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) berhubung intervensi yang sedang dirangka bagi memastikan kehilangan pekerjaan tidak melarat di sebalik ketidaktentuan ekonomi global yang membimbangkan.
Ramanan berkata, Kesuma melalui jabatan dan agensinya terus melaksanakan pelbagai inisiatif sedia ada secara berterusan bagi mempertingkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat.
Katanya, Perkeso terus membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelulusan akademik dan kemahiran mereka menerusi penganjuran Karnival Kerjaya, portal MYFutureJobs dan Career Exploration Centre (MYCEC) di bawah sistem Career Bridge Tool.
“Kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan HRD Corp. dalam melaksanakan Insentif Latihan Amali (ILHAM) Kesuma turut diteruskan bagi membantu bakat baharu dan merancakkan sektor pekerjaan negara.
“TalentCorp juga memberi fokus terhadap pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara melalui sinergi serta kerjasama merentasi kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pemain industri dan institusi pengajian tinggi.
“Usaha itu dilaksanakan menerusi Program Pecutan Bakat Berpandukan Industri (ID-TAP) dan Young Employable Student (YES): We Are Ready!,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) turut menawarkan 112 program sepenuh masa di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan menerusi 33 Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di seluruh negara.
Katanya, program tersebut merangkumi 10 bidang kemahiran teknologi dan kejuruteraan, manakala semua kurikulum yang ditawarkan adalah berpandukan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan oleh pihak industri. – UTUSAN










