Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan - PM

Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan – PM

ANWAR Ibrahim bercakap pada sidang akhbar selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Meranti di sini hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pengisytiharan dan pengesahan pelantikan ke jawatan itu perlu dibuat mengikut saluran yang sah bagi mengelakkan berlakunya ketidakamanan.

Beliau mengakui perkembangan terkini melibatkan institusi raja di Negeri Sembilan menyebabkan kebimbangan memandangkan institusi berkenaan mempunyai peraturan, kaedah dan tata cara tersendiri yang perlu dihormati.

“Kalau digugat sebegini rupa, ia (menyampaikan) mesej yang sangat tidak baik. Saya tidak menafikan hak siapa-siapa mengikut jalur undang-undang dan Perlembagaan negeri tetapi hujah itu harus kuat.

“Menggugurkan dan memakzulkan mana-mana raja akan memberi implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara, sebab itu kita memandang berat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Jumaat di Masjid Meranti, Jalan Pulau Meranti, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, hari ini.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sudah menyampaikan pandangan kepada pihak terlibat, namun pengisytiharan tersebut tetap diteruskan.

“Saya telah sampaikan pandangan ini kepada pihak-pihak berkenaan, harus ikut jalur (undang-undang), mahkamah buat keputusan tadi dan kita juga beri nasihat tapi diteruskan pengisytiharan di sebuah hotel yang saya fikir juga menjejaskan imej dan identiti raja ditabalkan di perkarangan hotel.

“Kita sebagai Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat secara langsung harus memberi nasihat, terutama orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sistem raja ini bukan sahaja namanya tapi kemuliaannya dan beberapa kaedah dan peraturannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Sebab itu, bagi kita, kita tetap mempertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja. Kalau kita ikut sekarang, susur galur setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan yang Tuanku Muhriz.

“Dan mohon apa-apa pandangan lain dibuat mengikut jalur yang sah mengikut Perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat, mempersulit urusan kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, beliau menyokong penuh tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lewat malam semalam.

“Sebab itu saya menyokong penuh tindakan Menteri Besar mengatakan oleh kerana simpang siul yang tidak ketentuan ini, sebaiknya adakan pilihan raya dan tuanku juga sudah pekenan.

“Jadi bagi kita, jalan terus, kita masih bersama dengan Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertuan negeri dan jalur lain kalau dibuat mengikut jalur, kita tidak menghalang tetapi setakat ini, tiada sebab mengapa hal ini patut dipertikai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN