SERDANG: Kerajaan akan terus memperkukuh ekosistem industri kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) menerusi sokongan dasar, penyelidikan, pelaburan serta kerjasama strategik melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, potensi industri UAV perlu diberi tumpuan memandangkan ia kini muncul sebagai antara industri baharu yang mampu menjadi pemangkin inovasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, beliau telah meminta Kabinet, kementerian, syarikat penyelidikan sains serta semua agensi berkaitan supaya memberikan segala sokongan yang diperlukan bagi membangunkan industri tersebut.
“Mereka tidak perlu risau mengenai keperluan kerana dasar sudah jelas. Sekarang, industri dron dan industri berkaitan telah diberikan sokongan.
“Bukan sahaja untuk pesawat udara dan industri pertahanan, tetapi juga untuk pelbagai aktiviti. Contohnya dalam pembungkusan, saya telah melihat penggunaan dron yang luar biasa untuk membantu meningkatkan produktiviti melalui teknologi baharu, dron dan kecerdasan buatan (AI),” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ekspo Dron Malaysia (MyDrone) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan komited menyokong pembangunan ekosistem industri UAV dengan memperkukuh rangka kerja regulatori selain menggalakkan kerjasama antara pemain industri dan agensi berkaitan.
Katanya, kerjasama antara industri, kerajaan, institusi penyelidikan, penerbitan dan universiti juga perlu dipertingkatkan bagi memperkukuh ekosistem, penyelidikan, pelaburan tambahan, ujian serta pensijilan.
“Apabila universiti semakin terlibat, saya melihat beberapa universiti dan saya fikir kita perlu terus menyokong usaha ini seperti yang dilakukan dalam fakulti AI dan pengkomputeran kuantum,” katanya.
Anwar berkata, teknologi dron kini meliputi hampir semua sektor termasuk pertahanan, perladangan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, dron mampu menyediakan kesedaran situasi, mengenal pasti mangsa terjejas dan membantu petugas kecemasan di kawasan yang sukar atau hampir mustahil untuk diakses.
“Nilai teknologi dron ini tidak boleh dipandang ringan. Ia penting untuk produktiviti, kemajuan ekonomi dan pertahanan, tetapi juga untuk menjaga rakyat, memperkukuh keupayaan negara dan yang paling penting meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN










