PETALING JAYA: Keputusan bedah siasat Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor pada 26 Mei lalu diklasifikasi ‘pending laboratory analysis’.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden, Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia dan doktor pakar Hospital Sungai Buloh.
“Setakat ini, siasatan kes ini masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan proses siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 26 Mei lalu, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.
Remaja itu dipercayai tersesat ketika menuruni bukit sendirian pada 10.50 pagi dan meninggalkan keluarganya di belakang kerana mahu tiba lebih awal disebabkan panas.
Rentetan itu, polis mengklasifikasikan kematian Nur Izzati Humaira sebagai kes mati mengejut.
Kehilangan remaja berkenaan diperoleh daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim pada pada pukul 2.30 petang.
Operasi pencarian selama empat hari itu membabitkan seramai 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan. – UTUSAN










