Syamsul Haris: Tunggu laporan sebelum inkues - Peguam

Syamsul Haris: Tunggu laporan sebelum inkues – Peguam

Syamsul Haris
NARAN Singh Ara Singh bersama Ummu Haiman Bee Daulatgun (kiri) menunjukkan gambar Syamsul Haris Shamsuddin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Inkues berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, hanya akan diputuskan selepas laporan penuh bedah siasat kedua dikeluarkan.

Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, pihaknya dimaklumkan Peguam Negara akan menunggu hasil rasmi bedah siasat kedua yang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur sebelum sebarang keputusan dibuat.

Menurutnya, setakat ini pihak keluarga juga masih belum menerima laporan penuh bedah siasat pertama mahupun kedua yang dilakukan selepas permohonan keluarga diluluskan bulan lalu.

“Kita beri peluang untuk laporan itu keluar dahulu sebelum tindakan lanjut sama ada teruskan dengan inkues atau tidak. Laporan rasmi itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan sebagaimana dimaklumkan oleh pakar perubatan.

“Sekarang siasatan diambil alih oleh pasukan D5 Bukit Aman. Jadi, kita tunggu apa hasil siasatan mereka selepas laporan rasmi diperoleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram.

Bedah siasat pertama bagaimanapun tidak menemukan sebarang kecederaan mencurigakan, sebelum keluarga membuat permohonan untuk gali semula dan pemeriksaan kedua dilakukan.

Bedah siasat kedua kemudian menemui beberapa kecederaan yang disifatkan mencurigakan serta berkemungkinan menjadi punca kematian, sekali gus mengubah haluan siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, ibu arwah, Ummu Haiman Bee Daulatgun berkata, beliau lega apabila permohonannya untuk bedah siasat kedua berjaya dilaksanakan, namun berharap ia dapat dilakukan dengan telus agar kebenaran dapat dibongkar.

“Saya amat berpuas hati sebab itu yang saya mahukan. Sebelum ini, saya tidak berpuas hati dengan laporan pertama yang mengatakan tiada sebarang kecederaan berlaku. Jadi, apabila ada tanda-tanda pada bedah siasat kedua, saya bersyukur.

“Apa yang saya perjuangkan sekarang tidak akan mengembalikan anak saya. Tetapi, sekurang-kurangnya ia boleh membuka mata masyarakat untuk lebih berhati-hati serta memastikan perkara sama tidak berulang dan tidak berani dilakukan terhadap orang lain,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN