SHAH ALAM: Pengesahan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dilakukan terhadap jenazah Allahyarham Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, sebelum diserahkan kepada keluarga.
Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, disebabkan proses tersebut jenazah allahyarham masih belum dapat dituntut oleh keluarga bagi urusan pengebumian.
“Keluarga hadir ke hospital bagi urusan pengecaman dan diberitahu supaya pulang dahulu sementara menunggu keputusan ujian.
“Bagaimanapun proses bedah siasat sudah pun selesai, namun hospital masih belum dapat menyerahkan jenazah kepada keluarga. Pihak hospital meminta kami pulang dahulu sehingga ujian DNA dapat diselesaikan,” katanya ketika ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.
Malam tadi, jenazah Mohd. Shahril tiba di hospital berkenaan dari Hutan Melintang, Perak selepas dijumpai terapung dekat perairan berhampiran Bagan Sungai Belukang.
Mayat itu ditemui oleh nelayan yang kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak.
Jenazah bapa kepada tiga anak itu merupakan antara tujuh pemancing yang dilaporkan hilang pada Ahad lalu susulan bot dinaiki karam akibat bocor dan dipukul ombak besar dipercayai pada waktu petang ketika mereka sepatutnya pulang.
Bagaimanapun, sehingga kini hanya enam sudah ditemui, empat daripadanya disahkan selamat selepas mereka ditemukan oleh nelayan pukat tunda di perairan berhampiran Sekinchan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Mereka ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45 dan Zulfilkalnain Awang, 47, yang merupakan seorang tekong.
Dua lagi didapati meninggal dunia termasuk allahyarham Mohd. Shahril selepas jenazahnya ditemui dalam keadaan diikat dengan tong dan jaket keselamatan sementara seorang lagi yang baru ditemui petang tadi iaitu hari keempat operasi SAR masih belum dapat dikenal pasti identitinya.
Sementara Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, dikenali sebagai ‘Tok Penghulu’ adalah pemancing yang masih dicari dalam operasi SAR hari ini.
Dalam pada itu, ahli keluarga turut memaklumkan jenazah Mohd. Shahril akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun, di sini. – UTUSAN










