PETALING JAYA: Pas membayangkan keputusan kerjasama parti itu dengan sekutunya akan mengambil kira rentetan peristiwa yang menghakis kepercayaan mereka terhadap Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun tidak meragui keikhlasan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekalkan hubungan baik dengan Pas namun kerjasama politik tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik, sebaliknya perlu diukur melalui tindakan.
“Apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Pas dalam masa terdekat pasti akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa tetapi juga rentetan peristiwa yang telah menghakis kepercayaan yang diberikan selama ini.
“Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan dan apabila kepercayaan itu terguris, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Mengimbau rentetan peristiwa yang menghakis kepercayaan, Ahmad Fadhli mempersoalkan tindakan tergesa-gesa Bersatu menghantar nama calon Menteri Besar di Perlis dan dakwaan wujudnya akuan bersumpah (SD) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga bekas ADUN Pas bagi menarik balik sokongan kepada bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Beliau berkata, penafian Bersatu mengenai kewujudan SD itu bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Perlis yang menyerahkan perkara tersebut kepada pengetahuan pihak istana.
“Kenyataan itu menimbulkan persoalan yang munasabah. Jika SD itu tidak wujud, mengapa tidak dinafikan secara terus dan jelas? Mengapa kewujudannya hanya disandarkan kepada pengetahuan Raja Perlis?
“Tidakkah kenyataan sedemikian membuka ruang kepada kesimpulan bahawa SD itu sememangnya wujud?” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai jaminan masa depan antara hubungan Pas dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mengenai calon Menteri Besar mahu pun Perdana Menteri.
“Apakah jaminan bahawa mana-mana keputusan berkaitan calon Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak akan dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional? Setakat ini saya tidak melihat adanya jaminan sedemikian,” katanya.
Selain isu Perlis, situasi politik di Negeri Sembilan turut menghakis kepercayaan apabila pendirian bersama ADUN PN yang dipersetujui secara kolektif diubah oleh Biro Politik Bersatu tanpa rundingan atas alasan Setiausaha Agung Pas gagal dihubungi.
Ahmad Fadhli berkata, kedua-dua peristiwa itu telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap tahap kepercayaan antara rakan gabungan.
“Hubungan boleh diteruskan. Kerjasama boleh diperkukuhkan semula. Namun kepercayaan adalah perkara yang berbeza. Trust, once broken, is hard to rebuild (Kepercayaan, sekali terhakis, sukar untuk dipulihkan),” katanya. – UTUSAN










