KLUANG: Kerajaan sedang mempertimbangkan pembelian sistem peluru berpandu antikapal (NSM) daripada empat negara termasuk Turkiye dan Korea Selatan untuk digunakan pada kapal tempur pesisir (LCS) negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu masih di peringkat penilaian bagi memastikan kemampuan tembakannya selari dengan sistem senjata yang digunakan pada kapal LCS.
Katanya, banyak negara telah mengemukakan tawaran namun beberapa aspek lain turut perlu dinilai dan diambil kira seperti tempoh pembekalan dengan keutamaan diberikan kepada pihak yang mampu membekalkan dalam tempoh antara satu hingga dua tahun.
“Selain masa pembekalan dalam tempoh singkat, harga setiap peluru itu juga akan diambil kira selain beberapa teknologi lain seperti pengesanan radar serta kaedah tembakan digunakan.
“Semua perkara disebutkan akan diambil kira sebelum penetapan pembelian peluru berpandu ini dibuat tempahan di negara terbabit,” katanya ketika ditemui selepas Hari Keluarga Angkatan Tentera Zon Selatan di sini semalam.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan keselamatan negara tersebut.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas Norway.
Mengulas lanjut, beliau berkata, negara hanya akan memilih peluru berpandu yang memiliki semua sistem diperlukan.
“Ini bagi memastikan keberkesanannya dalam usaha mempertahankan sempadan negara daripada sebarang pencerobohan,” katanya.-UTUSAN











