Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan melalui rundingan

Kemelut Negeri Sembilan perlu diselesaikan melalui rundingan

AHMAD Zahid Hamidi mengiringi Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 di Dataran Putrajaya, semalam. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyelesaian terbaik bagi menangani kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu dilakukan menerusi rundingan dan musyawarah antara pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, krisis adat yang melanda negeri berkenaan tidak seharusnya diselesaikan melalui proses perundangan atau dibawa ke mahkamah.

“Pada hemat saya, jalan terbaik ialah melalui perundingan dan tidak perlu membawa perkara itu ke muka pengadilan atau mahkamah.

“Semua pihak perlu menghormati institusi serta mekanisme adat yang menjadi sebahagian daripada sistem pemerintahan Negeri Sembilan termasuk peranan Dewan Keadilan Undang (DKU),” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya, semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, sebarang pengisytiharan dan pengesahan pelantikan ke jawatan itu perlu dibuat mengikut saluran yang sah bagi mengelakkan berlakunya ketidakamanan.

Ia susulan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dalam majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, kelmarin.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Media juga sebelum ini me­laporkan, Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak yang terbabit dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar, seperti yang dilaporkan terdahulu.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas berlakunya pelanggaran perintah injunksi ad interim dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Seremban, semalam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, senarai calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dimuktamadkan minggu depan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan parti-parti komponen khususnya MCA dan MIC.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan MCA dan MIC esok (hari ini) bagi mendengar sendiri pendirian masing-masing berhubung pembahagian kerusi.

“Bagi Johor, ia hampir dimuktamadkan dan saya akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti komponen khususnya MCA dan MIC untuk mereka memuktamadkan pendirian masing-masing.

“Bagi UMNO pula, ia hampir selesai. Insya-Allah dalam minggu depan kita akan selesaikan sepenuhnya dan pengumuman akan dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon.

“Bagi PRN Negeri Sembilan, Menteri Besar telah mengumumkan hasrat untuk bertan­ding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun BN masih membuka pintu (run­dingan) dan juga tidak menutup pintu serapat-rapatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN