Kadar air baharu Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Julai

Kadar air baharu Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Julai

ZAIRIL Khir Johari (kanan) dan K. Pathmanathan (kiri) dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini mengenai pelaksanaan kadar air baharu bagi Pulau Pinang.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan kadar air baharu di negeri ini bermula 1 Julai depan selepas ditangguhkan selama setahun atas arahan kerajaan negeri.

Kadar air baharu itu menyaksikan kenaikan tarif air 8.5 peratus bagi pengguna air domestik dan 7.3 peratus bagi pengguna bukan domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kadar air baharu itu sebenarnya telah diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 30 Julai tahun lalu, namun, kerajaan negeri mengarahkan pelaksanaannya ditangguhkan selama 12 bulan sehingga 1 Julai 2026.

Katanya, bagi pengguna domestik, kira-kira 82 peratus isi rumah di Pulau Pinang menggunakan 35 meter padu (m³) air atau kurang setiap bulan dan golongan itu hanya akan mengalami peningkatan maksimum bil sebanyak RM2.55 sebulan atau kira-kira 8.5 sen sehari.

“Pengguna domestik yang menggunakan 35m³ air sebulan akan membayar RM32.50 berbanding RM29.95 sebelum ini, manakala peningkatan adalah lebih rendah bagi pengguna yang menggunakan kurang daripada jumlah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sebelum ini, kadar tarif air bukan domestik di Pulau Pinang dinaikkan pada 1 Januari 2023, manakala tarif air domestik naik bermula 1 Februari 2024.

Menurut Zairil, bagi pengguna bukan domestik pula yang melibatkan sektor perkilangan, hotel, pusat beli-belah, premis perniagaan dan pejabat kerajaan, peningkatan maksimum bil bagi penggunaan sehingga 500m³ sebulan ialah RM77.70 atau RM2.59 sehari.

Menurut beliau, pengguna bukan domestik yang menggunakan 500m³ air sebulan akan membayar RM1,141.70 berbanding RM1,064 sebelum ini, dengan kadar purata baharu bagi 500m³ pertama ditetapkan pada RM2.28 bagi setiap meter padu.

Zairil berkata, pelaksanaan kadar baharu itu dijangka menjana kira-kira RM20 juta hasil tambahan dalam tempoh enam bulan terakhir tahun ini, dengan sebahagian besar keuntungan akan dilaburkan semula bagi pembangunan infrastruktur bekalan air demi manfaat rakyat dan pembangunan Pulau Pinang.

Katanya, pelaksanaan kadar baharu itu perlu bagi memastikan kelestarian perkhidmatan bekalan air, membiayai projek-projek kritikal di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) menampung peningkatan kos operasi serta menggalakkan penjimatan penggunaan air.

Menurut beliau, semakan kadar air bukan bertujuan menjana keuntungan lebih tinggi sebaliknya dibuat berdasarkan pelan perniagaan yang dikemukakan PBAPP kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti dapat diteruskan.

Zairil berkata, Pulau Pinang merekodkan penggunaan air domestik per kapita tertinggi di Malaysia iaitu 267 liter per kapita sehari (LCD) pada tahun lalu, jauh melebihi purata kebangsaan sebanyak 225 LCD dan Singapura pada 141 LCD.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyasarkan pengurangan penggunaan air domestik kepada 250 LCD tahun ini bagi memastikan sumber air yang terhad dapat diurus secara lebih mampan untuk jangka panjang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN