ALOR SETAR: Seorang lelaki iaitu ketua kumpulan ‘Geng Rames’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, G. Ramesh, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Rames’ di Kampung Sungai Division, Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025.
Ramesh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern sementara tertuduh diwakili peguam bela, S. Shatish.
Mahkamah benarkan kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah Sungai Petani dan tertuduh ditempatkan di Penjara Alor Setar seperti mana dimohon pihak pembelaan.
Pada 25 Mei lalu, akhbar ini melaporkan ketua kumpulan ‘Geng Rames’ yang dikehendaki kerana terbabit dalam kegiatan jenayah terancang ditahan pada 22 Mei lalu ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand ke Hyderabad, India.
Suspek yang juga dalang aktiviti jenayah yang aktif di kawasan Sungai Division, Sungai Petani, ditahan dalam Op Tiga oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani pada 25 Mac lalu. – UTUSAN










