Isteri masih di ICU, masukkan tiub keluarkan air dari paru-paru - Muss - Utusan Malaysia

Isteri masih di ICU, masukkan tiub keluarkan air dari paru-paru – Muss

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Muss, memaklumkan isterinya, Suraya Baharu, kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sedang menjalani prosedur memasukkan tiub bagi mengeluarkan air yang memenuhi paru-parunya.

Muss atau Mustaffa Din, 58, berkata, keadaan isterinya hampir stabil, namun masih berdepan beberapa komplikasi kesihatan.

“Dia masih di ICU. Keadaan dia sebenarnya hampir stabil, tetapi masih ada banyak masalah sampingan. Paru-parunya pula dipenuhi air.

“Hari ini doktor sedang menjalankan prosedur memasukkan tiub untuk mengeluarkan air dalam paru-paru. Sepatutnya prosedur itu sudah selesai sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Biru Mata Hitamku di Hotel JW Marriott, di sini, hari ini.

Tambah Muss, meskipun isterinya berdepan ujian berat termasuk kehilangan kaki kiri akibat dipotong, dia mengagumi ketabahan serta sikap positif Suraya dalam meneruskan perjuangan hidup.

Sehubungan itu, katanya, dia bertekad untuk tidak menunjukkan kesedihan di hadapan isterinya.

“Saya amat mengagumi kekuatan isteri saya yang tidak pernah mengeluh atau menunjukkan kesakitan sepanjang melalui ujian ini.

“Isteri saya seorang wanita yang sangat tabah. Kalau orang lain mungkin sudah tiada, tetapi dia sangat kuat dan sentiasa positif.

“Sampai dia sakit begini pun saya yang ‘down’. Dia pula tidak mahu menunjukkan dia sakit. Dia sorokkan emosi dan sentiasa berfikiran positif.

“Bila dia kuat, saya pun kena kuat. Apa yang berlaku saya kena reda. Sampai hari ini saya masih berpegang kepada perkara itu,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan berkaitan rawatan isterinya, Muss berkata, setiap keputusan penting akan dibuat dengan penuh pertimbangan serta mendapatkan pandangan ahli keluarga.

“Saya kena buat keputusan. Takkan saya nak biarkan sahaja. Saya perlukan pandangan keluarga juga, termasuk sepupu dia.

“Saya tidak mahu membuat keputusan yang salah. Biarlah apa juga perkara atau keputusan, kami bincangkan dan putuskan bersama-sama,” katanya.

Dalam pada itu, Muss mengakui cuba sedaya upaya memberi tumpuan kepada kerjaya meskipun ketiadaan isterinya di sisi memberi kesan besar terhadap rutin hariannya.

“Kalau ikutkan memang saya tak dapat buat kerja. Dialah ‘runner’ saya. Banyak perkara saya hilang kalau dia tiada,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, Suraya terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kirinya hingga ke paras lutut akibat komplikasi penyakit kencing manis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN