KUALA TERENGGANU: “Saya reda dengan ketentuan Allah tetapi berharap keadilan sewajarnya dapat diberikan atas apa yang menimpa anak saya dan demi dua cucu.”
Demikian luahan ibu Allahyarham Saifullah Isyraf Shamsudin, 27, yang masih sukar menerima hakikat kehilangan anak keduanya itu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 27 Mei lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Bandar Kuala Terengganu menuju ke Marang, terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki etnik Rohingya berusia 20 tahun.
Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu.
Suriana, 45, berkata, dia berharap proses perundangan dapat berjalan dengan adil dan memberi pembelaan sewajarnya kepada Allahyarham Saifullah Isyraf serta dua cucunya yang kini kehilangan tempat bergantung.
Katanya, anaknya seorang yang ringan tulang dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga selain sangat menyayangi kedua-dua anaknya.
Menurutnya, Allahyarham yang bekerja sendiri adalah anak kedua daripada lima beradik dan sangat meminati motosikal Yamaha RXZ, malah minat itu turut dikongsi hampir seluruh ahli keluarganya.
“Arwah seorang yang baik dan bertanggungjawab. Semasa di rumah, dia selalu tolong apa sahaja yang kami perlukan. Dia juga rapat dengan anak sulungnya, Nur Laura Mikayla yang berusia empat tahun. Siang malam memang bersama arwah,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Batu Buruk di sini.
Suriana berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu adalah pada hari kejadian apabila Saifullah Isyraf datang ke rumahnya di Padang Negara di sini, dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ miliknya.
“Semasa pagi Hari Raya Aidiladha lalu, dia ke rumah saya sebelum pulang ke rumah sewanya di Batu Buruk. Bekas isterinya kemudian datang mengambil kedua-dua anak mereka untuk dibawa pulang ke Durian Guling, Marang,” katanya.
Menurut Suriana, selepas solat Zuhur, Allahyarham sekali lagi ke rumahnya dan mereka sempat menikmati nasi beriani bersama.
“Saya ada bertanya di mana anak-anak dan dia beritahu bekas isterinya datang mengambil mereka. Selepas makan, saya nampak dia termenung agak lama di luar rumah. Sebelum keluar, dia sempat berpesan supaya menutup pintu rumah,” katanya.
Menurutnya, ketika itu dia tidak menyangka perubahan sikap anaknya itu merupakan petanda perpisahan buat selama-lamanya.
“Selepas itu saya tertidur. Apabila terjaga kira-kira pukul 4.20 petang, saya cuba menghubunginya hampir 10 kali tetapi tidak dijawab. “Biasanya kalau saya telefon, dia terus jawab. Ketika itu saya langsung tidak terfikir perkara buruk berlaku,” katanya.
Kira-kira 10 minit kemudian, dia menerima panggilan daripada adik iparnya yang memaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan.
Menurut Suriana, buat masa ini kedua-dua cucunya iaitu Nur Laura Mikayla dan Muhammad Luth Mikael yang berusia tiga bulan dijaga bekas isteri Allahyarham, namun keluarga mereka bergilir-gilir menjaga anak-anak tersebut.
“Arwah dan bekas isterinya berpisah pada awal tahun ini, tetapi hubungan mereka tetap baik demi anak-anak. Kami sekeluarga akan pastikan kebajikan cucu-cucu terus terbela,” katanya. – UTUSAN










