KUALA LUMPUR: Pas mengumumkan keputusan untuk mengakhirkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada malam ini.
Kata beliau, mesyuarat itu bertujuan meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas dengan Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
“Menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Terdahulu, pemimpin Pas menghadiri mesyuarat itu di Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut dan ia berlangsung kira-kira selama lima jam.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas mahu meneroka kerjasama politik baharu.
“(Pas menetapkan untuk) meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Tambahnya, Pas juga mahu menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – UTUSAN










