KUANTAN: Isu kekurangan pegawai perubatan di hospital-hospital di negeri ini kembali mencuri perhatian selepas aduan tular dalam media sosial sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai terhadap tahap perkhidmatan kesihatan.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), sehingga 1 Jun lalu, jumlah semasa pegawai perubatan difasiliti kesihatan bawah jabatan itu adalah seramai 850 orang.
Katanya, hasil semakan mendapati, situasi kekurangan pegawai perubatan itu disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya pergerakan pegawai untuk mengikuti latihan kepakaran, pertukaran keluar pegawai susulan pelantikan tetap di fasiliti lain serta peletakan jawatan.
“Bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas, JKNP melaksanakan beberapa langkah segera termasuk pengoptimuman sumber manusia sedia ada dan mobilisasi pegawai perubatan daripada fasiliti kesihatan awam dan hospital lain menerusi inisiatif hospital kluster.
“Turut dilaksanakan, penyusunan semula penempatan pegawai perubatan berdasarkan keperluan perkhidmatan dan beban kerja semasa. Dalam masa sama, JKNP sentiasa berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti melalui pemantauan berterusan serta kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan.
“Langkah ini dilakukan bagi memastikan keperluan sumber manusia kesihatan dapat ditangani secara berperingkat dan menyeluruh,” katanya.
Menurut jabatan itu, JKNP kekal komited dalam memastikan kebajikan warga kerja kesihatan terus diberi perhatian di samping menjamin perkhidmatan kesihatan kepada rakyat sentiasa disampaikan secara berkualiti, selamat, cekap dan berkesan. – UTUSAN










