SELAYANG: Harga lantai RM2.70 sekilogram yang ditawarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi pelindung kepada pekebun durian kampung ketika harga di peringkat ladang menjunam akibat lambakan bekalan musim ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, agensi itu akan membeli durian kampung pada harga tersebut sekiranya harga pasaran jatuh di bawah paras yang ditetapkan.
Katanya, langkah itu dilaksanakan menerusi program kontrak pemasaran bagi memastikan pekebun tidak mengalami kerugian besar ketika bekalan meningkat secara mendadak.
“Apabila berlaku lambakan sehingga harga jatuh kepada RM1 sekilogram, FAMA akan membeli durian kampung pada harga lantai RM2.70 sekilogram.
“Ini bagi memastikan pekebun terus menerima pulangan yang munasabah walaupun berdepan kejatuhan harga di peringkat ladang,” katanya pada Program Sesi Libat Urus Bersama Pengamal Media Berkaitan Pemasaran Durian FAMA di sini hari ini.
Beliau berkata, harga durian kampung ketika ini berada antara RM1 hingga RM4 sekilogram mengikut lokasi dan kualiti.
Menurutnya, kejatuhan harga berlaku apabila hampir semua negeri memasuki musim pengeluaran durian secara serentak, selain dipengaruhi cuaca yang baik dan pertambahan kawasan tanaman yang mula mengeluarkan hasil.
Katanya, hanya Sabah belum merekodkan pengeluaran durian setakat Jun ini manakala negeri-negeri lain sedang berdepan peningkatan bekalan yang ketara.
“Apabila pengeluaran berlaku serentak di seluruh negara, ia memberi tekanan kepada harga di peringkat ladang.
“Keadaan ini memberi manfaat kepada pengguna, namun menjejaskan pendapatan pekebun jika tiada langkah intervensi dilaksanakan,” katanya.
Faisal berkata, setakat ini belum ada harga lantai ditetapkan bagi varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn.
Beliau berkata, FAMA turut melaksanakan pembelian terus hasil durian melalui 42 Pusat Operasi (PO) di seluruh negara bagi membantu menyerap lebihan bekalan di pasaran.
Sehingga kini, sebanyak 142.7 tan metrik (MT) durian telah dibeli secara langsung oleh FAMA manakala usahawan bimbingannya merekodkan pembelian sebanyak 1,099 MT bernilai RM3.28 juta.
“Selain pembelian terus, FAMA turut membuka 90 lokasi jualan buah-buahan bermusim dan mengaktifkan 60 Pusat Belian Sementara bagi memastikan hasil pekebun terus mempunyai pasaran,” katanya. – UTUSAN










