Hanya minat lelaki Korea? Itu jawapan selamat sahaja - Siti Khadijah Halim - Utusan Malaysia

Hanya minat lelaki Korea? Itu jawapan selamat sahaja – Siti Khadijah Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah Halim menjelaskan kenyataannya mengenai  menyukai lelaki ala jejaka Korea sebagai calon pasangan hidup sebelum ini hanyalah gurauan dan tidak perlu dipandang serius.

Menurut pelakon From Saga With Love itu, kenyataan yang diberikan ketika muncul dalam sebuah program audio siar hanyalah sebagai ‘jawapan selamat’ bagi mengelakkan sebarang kontroversi atau salah faham.

“Sebenarnya itu jawapan selamat saya. Kalau saya kata suka suami orang, susah pula nanti. Jadi, kita ambil jawapan yang tidak akan membuatkan sesiapa rasa tersinggung,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Siti Khadijah mengakui terkejut apabila kenyataan tersebut tetap mengundang reaksi kurang senang daripada segelintir pihak yang menganggapnya serius.

Katanya, dia tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak, sebaliknya mahu orang ramai lebih memberi perhatian kepada perkembangan kerjaya seninya berbanding kehidupan peribadi.

“Nampaknya masih ada yang terasa hati juga, jadi saya pun pelik. Janganlah fikir begitu kerana memang bukan niat saya.

“Saya kalau boleh tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi. Apa yang saya mahukan adalah orang ramai menilai dan memberi perhatian kepada hasil kerja saya,” katanya.

Mengulas sama ada dia benar-benar meminati lelaki Korea Selatan, Siti Khadijah tidak menafikan penampilan fizikal golongan tersebut sememangnya menarik perhatian, namun sekadar dari sudut pandangan umum.

“Dua-dualah, suka dan jawapan selamat. Orang tanya, kita jawab. Memang mereka sedap mata memandang.

“Tetapi setakat itu sahajalah, sekadar sedap mata memandang,” katanya berseloroh.

Terdahulu, Siti Khadijah mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan kecenderungannya terhadap lelaki yang mempunyai ciri-ciri ala jejaka Korea Selatan dalam sebuah program audio siar.

Walaupun kenyataan itu dibuat secara berseloroh, segelintir peminat meluahkan rasa kecewa malah ada yang memuat naik video di media sosial sebagai jenaka bagi meyakinkan pelakon tersebut untuk memilih lelaki Melayu sebagai pasangan hidup. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN