KUALA LUMPUR: Hampir RM3 bilion kerugian direkodkan akibat penipuan dalam talian tahun lalu sekali gus menunjukkan ancaman sindiket semakin serius dan memerlukan kerjasama menyeluruh pelbagai pihak untuk menanganinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, rakyat Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM2.97 bilion akibat pelbagai bentuk penipuan dalam talian sepanjang tahun lalu dengan jumlah kerugian terus menunjukkan peningkatan pada tahun ini.
Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pesat turut menyebabkan modus operandi sindiket scam sentiasa berubah dan menjadi semakin canggih bagi memperdaya mangsa.
“Penipuan dalam talian bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar, malah turut menjejaskan kesejahteraan sosial, keyakinan masyarakat terhadap ekosistem digital serta kestabilan ekonomi negara.
“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkembangan teknologi semasa dan akan berusaha memperkukuhkan aspek perundangan sebagai faktor pencegah terhadap jenayah ini,” katanya dalam sidang akhbar Sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, PDRM terus mempergiat usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi operasi penguatkuasaan berterusan, penggunaan teknologi terkini serta inisiatif kesedaran awam yang lebih menyeluruh.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan baru-baru ini di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, seramai 183 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan telah ditahan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani ancaman yang semakin membimbangkan itu tanpa kerjasama dan kewaspadaan masyarakat.
“Kami menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam setiap urusan kewangan dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan panggilan, mesej atau tawaran mencurigakan serta membuat semakan melalui saluran rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan,” jelasnya.
Bagi membantu orang ramai mengelak menjadi mangsa penipuan, beliau berkata, PDRM turut memperkenalkan pelbagai kemudahan digital termasuk aplikasi SemakMule yang membolehkan pengguna menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon yang pernah dikaitkan dengan laporan scam.
Dalam pada itu, Mohd. Khalid berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya menerima antara 500 hingga 700 panggilan setiap hari daripada orang ramai yang mendapatkan bantuan selepas menjadi mangsa penipuan.
“Pogram berteraskan pendidikan dan kesedaran seperti PB Scam Rangers mampu melahirkan masyarakat yang lebih celik digital serta berdaya tahan dalam menghadapi ancaman scam.
“Usaha memerangi scam memerlukan pendekatan seluruh masyarakat, dengan agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta dan orang ramai memainkan peranan masing-masing bagi melindungi rakyat daripada jenayah penipuan dalam talian,” katanya. – UTUSAN









