CANCUN: Hasrat untuk mewujudkan suasana meriah sempena Piala Dunia 2026 bertukar menjadi mimpi ngeri apabila sebuah festival penyokong di sini dilaporkan lengang selepas lokasi acara itu dibina berhampiran kawasan paya yang menjadi habitat ribuan buaya liar.
Acara dikenali sebagai Cancun Fut Fest itu diwujudkan bagi menghimpunkan peminat bola sepak sepanjang kejohanan berlangsung menerusi tayangan skrin gergasi percuma, persembahan kebudayaan, zon permainan serta gerai makanan jalanan.
Namun, pemilihan lokasi di Malecon Tajamar yang terletak bersebelahan Lagun Nichupte mencetuskan kebimbangan ramai apabila kawasan berkenaan terkenal sebagai habitat semula jadi buaya liar yang boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang.
Lebih membimbangkan, pengunjung yang mahu memasuki kawasan festival perlu berjalan hampir satu kilometer melalui laluan hutan bakau yang dikelilingi habitat reptilia berkenaan.
Pihak penganjur turut meletakkan beberapa papan tanda amaran di sepanjang laluan bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan laluan pejalan kaki yang disediakan atas faktor keselamatan.
Keadaan menjadi lebih menggerunkan apabila skrin gergasi utama festival itu didirikan berhampiran tebing lagun, iaitu lokasi yang sering menjadi tempat buaya-buaya liar naik ke darat untuk berjemur.
Malah, kebanyakan perlawanan Piala Dunia ditayangkan pada waktu senja, iaitu tempoh yang dianggap paling aktif bagi reptilia pemangsa tersebut bergerak mencari makanan.
Menurut rekod tempatan, sekurang-kurangnya tiga insiden serangan buaya terhadap manusia pernah dilaporkan berlaku di kawasan paya bakau sekitar Lagun Nichupte, sekali gus menambahkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.
Susulan ancaman keselamatan itu, pihak polis terpaksa meningkatkan rondaan di sekitar lokasi festival sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin.
Beberapa gambar dan rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kawasan festival itu hanya dipenuhi penyokong ketika perlawanan membabitkan Mexico, namun suasananya bertukar sepi bagi kebanyakan aksi negara lain.
Kehadiran pengunjung yang jauh lebih rendah daripada jangkaan mencetuskan persoalan mengenai kewajaran pemilihan lokasi tersebut, terutama apabila aspek keselamatan dilihat menjadi faktor utama yang menghalang peminat hadir beramai-ramai.
Bagaimanapun, festival berkenaan bukan sebahagian daripada zon penyokong rasmi yang dianjurkan oleh FIFA, sebaliknya dikendalikan oleh pihak tempatan sebagai acara sampingan sempena kejohanan terbesar bola sepak dunia itu.-AGENSI










