Elanga pastikan Sweden, Jepun berkongsi mata

Elanga pastikan Sweden, Jepun berkongsi mata

PENYERANG Sweden, Anthony Elanga diasak pertahanan Jepun, Hiroki Ito dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia di Stadium Dallas, hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Sweden bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Jepun 1-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala Dunia 2026, keputusan yang mengesahkan kedua-dua pasukan melangkah ke pusingan 32 terbaik, hari ini.

Selepas beraksi hambar pada sebahagian besar perlawanan, Sweden akhirnya menemui penyudah menerusi Anthony Elanga yang meledak gol penyamaan pada minit ke-62, hanya enam minit selepas Daizen Maeda meletakkan Jepun di hadapan.

Keputusan itu menyaksikan Jepun menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan dengan lima mata di belakang Belanda dan akan berdepan juara dunia lima kali, Brazil pada pusingan kalah mati.

Sweden pula berjaya bangkit daripada kekecewaan dibelasah Belanda 5-1 dalam aksi terdahulu apabila mengumpul empat mata untuk menduduki tempat ketiga kumpulan, sekali gus mara sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

“Saya memang merasakan sepanjang perlawanan bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan hari ini. Saya berterima kasih kepada Graham atas keyakinan yang diberikan sejak hari pertama.

“Saya gembira dapat menjaringkan gol. Sudah tentu kami mahu menang, tetapi pada penghujung perlawanan saya diberitahu bahawa satu mata sudah mencukupi.

“Yang penting kami layak dan kini kami perlu tampil lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Elanga.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan bergelut mencipta peluang berkualiti, namun Jepun hampir memecahkan kebuntuan menjelang waktu rehat menerusi Keito Nakamura yang memaksa penjaga gol Sweden, Jacob Widell Zetterstrom melakukan aksi menyelamat.

Sweden turut memiliki peluang terbaik menerusi Viktor Gyokeres, namun percubaannya tersasar selepas terkena pertahanan Jepun, Shogo Taniguchi.

Jepun tampil lebih agresif sebaik babak kedua bersambung dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-56 apabila Maeda menyudahkan gerakan menarik yang direncanakan Ritsu Doan dan Ayase Ueda untuk meletakkan Samurai Biru di hadapan.

Namun kegembiraan Jepun hanya bertahan enam minit apabila Elanga melepaskan rembatan kaki kiri dari bucu kotak penalti yang gagal diselamatkan Zion Suzuki untuk mengikat kedudukan.

Suzuki kemudian muncul wira Jepun apabila melakukan beberapa aksi menyelamat penting, termasuk menafikan percubaan Alexander Isak dan menepis tandukan penyerang Sweden itu ke palang pada masa kecederaan bagi memastikan keputusan seri kekal sehingga wisel penamat.

Kapten Jepun, Wataru Endo, mengakui pasukannya berasa kecewa kerana gagal mempertahankan kelebihan, namun tetap berpuas hati dengan kejayaan mara ke pusingan seterusnya.

“Kami mahu menang, tetapi objektif utama adalah layak ke pusingan kalah mati dan kami berjaya melakukannya. Kini fokus kami sepenuhnya kepada cabaran besar menentang Brazil,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN