Mesir di ambang sejarah, Iran belum mengalah

Mesir di ambang sejarah, Iran belum mengalah

Mohamed Salah antara senjata Mesir berdepan Iran dalam aksi Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEATTLE: Mesir hanya selangkah untuk mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama apabila turun menentang Iran pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Lumen, esok.

Skuad The Pharaohs kini mendahului kumpulan dengan empat mata hasil keputusan seri 1-1 menentang Belgium sebelum bangkit menewaskan New Zealand 3-1 manakala Iran mengumpul dua mata menerusi dua keputusan seri bertemu New Zealand dan Belgium.

Pengendali Mesir, Hossam Hassan mengakui pasukannya kini berada dalam kedudukan terbaik, namun mengingatkan anak buahnya supaya tidak leka kerana perlawanan itu bakal menentukan hala tuju kempen mereka di Amerika Utara.

“Kemenangan pertama itu memberi keyakinan besar kepada kami, tetapi tugas kami masih belum selesai kerana fokus utama adalah memastikan Mesir layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

Iran pula hadir dengan semangat tinggi selepas berjaya mengikat Belgium tanpa jaringan walaupun berdepan pelbagai cabaran logistik sepanjang kejohanan, termasuk isu perjalanan rentas sempadan yang menjejaskan persiapan mereka.

Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei tetap percaya anak buahnya mampu mencipta kejutan meskipun mengakui pasukannya terpaksa mengharungi keadaan yang jauh lebih sukar berbanding negara lain sepanjang saingan berlangsung.

“Kami mungkin pasukan yang paling tertekan sepanjang kejohanan ini, namun para pemain terus menunjukkan semangat juang dan kami masih mempunyai peluang untuk menentukan nasib sendiri,” katanya.

Pertembungan yang dijangka berlangsung penuh taktikal itu bakal menyaksikan Mesir bergantung kepada sentuhan penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dan Omar Marmoush, manakala Iran mengharapkan pengalaman Mehdi Taremi serta ketangkasan Alireza Beiranvand untuk menghalang impian lawan sekali gus merampas tiket ke pusingan 32 terbaik. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN