KUALA LUMPUR: Kemalangan yang mengorbankan dua individu, manakala seorang lagi terselamat di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur Jalan Kuching di sini pagi tadi dipercayai berpunca daripada kereta BMW yang dinaiki mereka dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu, kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya ketika dalam perjalanan dari Jalan Duta menghala ke Selayang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, rempuhan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbakar.
Beliau berkata, pemandu yang juga penuntut di Universiti Brisbane, Australia serta penumpang hadapan, lelaki tempatan berusia 21 tahun yang juga penuntut Universiti Sunway disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Mereka dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang terbakar.
“Seorang lagi penumpang warga Singapura berusia 20 tahun yang berada di tempat duduk belakang sempat keluar daripada kenderaan sebelum kebakaran berlaku.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki sebelum dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu gagal mengawal kenderaan.
Jelasnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi dan mengambil keterangan daripada mangsa yang terselamat.
“Proses pengecaman identiti kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis. DNA (ujian asid deoksiribonukleik).
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










