Dua pasangan adik beradik kekal dipenjara 36 tahun

Dua pasangan adik beradik kekal dipenjara 36 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua pasangan adik-beradik dan seorang rakan mereka kekal dipenjara selama 36 tahun dan sebat 12 kali atas kesalahan membunuh seorang pemuda dengan cara menetaknya dengan pedang selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan mereka.

Mereka ialah pasangan adik-beradik Mohd Rizalman Awang, 36, dan abangnya Zahaman Fairol, 39, serta Mohd Uwais Mat Nawi, 31, dan adiknya, Mohd Hafify, 30, serta Aizz Amidie Aziz, 32.

Pada 9 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mendapati mereka bersalah atas tuduhan membunuh Mohd Sharulanuar Dek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut di antara pukul 4.40 hingga 5.15 petang, 21 Jun 2017.

Pada ketika kejadian, umat Islam sedang berpuasa Ramadan dan merupakan empat hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan kelima-lima lelaki tersebut selepas mendapati rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit.

“Selepas meneliti rekod rayuan dan nota prosiding, panel ini berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah menilai keterangan saksi-saksi termasuk keterangan saksi-saksi terlindung dan telah membuat penilaian yang maksima bahawa perayu-perayu telah menetak mangsa menggunakan pedang.

“Saksi terlindung pertama yang merupakan saksi mata yang ketika kejadian bersembunyi di dalam semak telah menjelaskan secara terperinci kejadian yang berlaku.

“Hakim Mahkamah Tinggi juga telah membuat penilaian terhadap pembelaan kesemua perayu dan mendapati bahawa pembelaan mereka bahawa terdapat individu lain yang menetak mangsa adalah sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought) dan direka-reka,”ujar Hakim Azman ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.

Berhubung hukuman penjara dan sebat, Hakim Azman menyatakan panel sebulat suara mengekalkan hukuman penjara 36 tahun dan sebat 12 kali berdasarkan tahap keganasan yang berlaku terhadap mangsa.

“Mahkamah ini mengekalkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan atas sebab keganasan dan kecederaan berganda si mati berhubung kejadian tragis itu,” kata Hakim Azman.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zain Ibrahim dan Solehah Noratikah Ismail manakala kesemua perayu diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki selepas berlaku perselisihan faham berkait kejadian bakar motosikal milik ibu saudara salah seorang tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN