Dua maut, seorang cedera nahas dua kereta, bas

Dua maut, seorang cedera nahas dua kereta, bas

KEADAAN dua kereta yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas di Batu 7 Binjul, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, Baling hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Dua maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah bas di Batu 7 Binjul, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.20 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu wanita berusia 23 tahun memandu Perodua Myvi dan pemandu Proton Saga, lelaki berusia 27 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Seorang lelaki yang juga penumpang Proton Saga, mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Baling untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.22 pagi.

“Pemandu wanita telah dikeluarkan dari keretanya dengan bantuan orang awam, manakala pemandu Proton Saga didapati tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas dalam tempoh kira-kira 20 minit,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dipandu wanita berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Pulai, Baling menghala ke Kulim.

“Bas dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dari arah yang sama, manakala sebuah lagi kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 27 tahun, dari arah bertentangan iaitu Kulim menghala ke Gerik.

“Akibat kemalangan, dua mangsa iaitu pemandu kedua-dua kereta cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang salah sebuah kereta mengalami kecederaan serta dibawa ke hospital untuk rawatan,” katannya.

Menurutnya, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Baling untuk proses bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN