Dr. Fariza Md. Sham TNC UKM yang baharu

Dr. Fariza Md. Sham TNC UKM yang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI : Prof. Datuk Dr. Fariza Md. Sham yang juga , Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal
Akademik dan Antarabangsa (TNC HEAA) yang baharu, dan merupakan TNC HEAA wanita pertama di UKM.

Menurut kenyataan UKM, pelantikan beliau adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 15 Jun 2026, menggantikan Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor yang telah tamat tempoh perkhidmatannya sebagai TNC
HEAA.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, pelantikan tersebut mampu memperkasa hubungan akademik dan kerjasama strategik antara UKM dengan institusi
antarabangsa.

“Pelantikan Prof. Dr. Fariza akan memupuk kerjasama yang lebih erat dengan institusi luar negara melalui hubungan strategik dan jaringan akademik yang mampan, di samping
memastikan kualiti aktiviti pengantarabangsaan universiti terus dipantau dan dipertingkatkan.

“Ia juga selaras dengan aspirasi UKM untuk mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia serta memperluas agenda pengantarabangsaan universiti,” kata kenyataan tersebut.

Fariza merupakan seorang profesor wanita yang aktif dan berpengaruh dalam bidang Psikologi Dakwah Remaja dan Psikologi Islam.

Beliau merupakan antara pelopor utama dalam kedua-dua bidang tersebut dan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ilmu serta penyelidikan berkaitan.

Atas kecemerlangan dan sumbangan ilmiah, Prof. Dato’ Dr. Fariza telah diiktiraf sebagai Felo Akademi Sains Malaysia, iaitu pengiktirafan berprestij yang mencerminkan sumbangan beliau yang luar biasa dalam bidang Pengajian Islam, Tamadun Islam, Dakwah dan Psikologi Islam serta menjadi pakar rujuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Kepakaran serta sumbangan beliau di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM itu turut mendapat pengiktirafan global apabila beliau dilantik sebagai Duta
Pendidikan Uzbekistan ke Malaysia.

Selain itu, beliau turut memegang beberapa jawatan akademik antarabangsa sebagai Profesor Pelawat di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang; Tashkent State University of Oriental Studies, Uzbekistan; International Islamic Academy of Uzbekistan; dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage, Uzbekistan.

Fariza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) daripada UKM pada 1994, diikuti Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) dari universiti yang sama pada tahun 1997.

Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Usuludin dan Falsafah dalam bidang Dakwah dan Pembangunan Insan dari Universiti Malaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN