Seramai 10,000 pelajar daripada keluarga miskin bakal menerima manfaat menerusi inisiatif Biasiswa Anak eKasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (BAeK PTPTN) yang diperkenalkan bagi memperkukuh akses pendidikan tinggi negara.
Menurut kenyataan PTPTN, inisiatif yang diperkenalkan pihaknya itu bertujuan memastikan tiada pelajar yang layak tercicir melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) disebabkan kekangan kewangan, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pendidikan tinggi serta membangunkan modal insan yang berdaya saing.
“Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober tahun lalu mengumumkan inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.
“Menerusi pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif tersebut telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin,” katanya.
Melalui BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN ditukar kepada biasiswa untuk pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam eKasih serta mengikuti pengajian diploma atau ijazah sarjana muda sepenuh masa di IPTA bermula 1 Januari lalu.
“BAeK PTPTN ditawarkan kepada pelajar warganegara Malaysia yang berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan.
“Selain itu, pelajar yang mempunyai akaun Simpanan SSPN yang masih aktif, tiada tunggakan pinjaman PTPTN dan baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan tidak kurang daripada satu semester,” katanya.
Dalam pada itu, PTPTN berkata, permohonan BAeK PTPTN dibuat melalui aplikasi web myPTPTN.
“Pelajar akan diluluskan pinjaman PTPTN terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian sebelum ditawarkan biasiswa sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
“Pelajar yang berjaya akan menerima biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi peringkat diploma, RM6,180 setahun Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sains),” katanya.
Sementara itu, sesi penyerahan BAeK PTPTN kepada para pelajar diadakan di Johor baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abd. Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abd. Majid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Johor, Mazni Ruslan.
PTPTN berkata, sejak diperkenalkan pada tahun ini hingga 31 Mei lalu, seramai 402 pelajar di seluruh negara menerima manfaat program berkenaan dengan jumlah peruntukan berjumlah RM8.79 juta.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan memastikan latar belakang sosioekonomi bukan penghalang kepada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Semoga pemberian BAeK PTPTN ini dapat memberi dorongan serta motivasi kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pembelajaran di samping membolehkan permulaan kerjaya tanpa hutang.
“Usaha ini juga diharap dapat membantu golongan yang memerlukan serta menyumbang kepada pengurangan ketidaksamaan sosioekonomi secara berperingkat,” katanya. –UTUSAN









