Minat terhadap kemahiran dan peluang kerjaya luas mendorong lebih ramai golongan muda memilih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan pendidikan serta masa depan mereka.
Pelajar menyifatkan bidang TVET bukan sahaja menjanjikan kerjaya cerah masa hadapan tetapi mudah dipelajari dan difahami kerana pelajar melakukannya secara hands on yang dianggap lebih menyeronokkan dan mudah.

Menurut mereka, pendekatan pembelajaran yang lebih menekankan latihan praktikal berbanding teori memudahkan pelajar memahami sesuatu kemahiran dengan lebih berkesan.
Mereka juga bersetuju bahawa, graduan TVET juga mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja kerana telah dilatih mengikut keperluan industri.
Pelajar Kolej Vokasional (KV) Kajang, Muhammad Irfan Norulazwan, 17, berkata, dia memilih TVET kerana lebih mudah memahami pembelajaran yang berasaskan kemahiran berbanding teori.
Menurutnya, minat terhadap bidang kemahiran telah wujud sejak kecil dan dipengaruhi oleh ahli keluarganya yang turut mempunyai latar belakang teknikal.
“Saya mula tertarik dengan bidang kemahiran ketika berusia lapan tahun selepas melihat abang saya terlibat dalam bidang tersebut.
“Ayah saya juga mempunyai latar belakang dalam bidang elektrik selepas mengikuti pengajian di Sekolah Menengah Teknik (SMT), manakala pakcik saya pula menceburi bidang automotif,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari TVET Negara di Putrajaya baru-baru ini.
Muhammad Irfan yang mengikuti pengajian Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 berkata, kelebihan utama TVET ialah pelajar memperoleh pengalaman praktikal sebelum memasuki alam pekerjaan.

Katanya, pendedahan kepada latihan amali dan prosedur kerja sebenar memberi keyakinan kepada pelajar untuk berdepan dengan cabaran industri.
“Guru di KV bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal, malah turut menerapkan cara berkomunikasi dengan pelanggan dan prosedur kerja yang betul.
“Apabila tamat pengajian nanti, kami sudah mempunyai pengalaman asas yang memudahkan proses mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Muhammad Irfan turut berpandangan bahawa TVET kini semakin mendapat perhatian masyarakat berikutan pertambahan program dan peluang latihan yang ditawarkan.
“Pelajar yang masih ragu-ragu dalam menentukan hala tuju pendidikan disarankan memilih bidang yang selari dengan minat dan kecenderungan masing-masing,” katanya.
Selain itu, seorang lagi pelajar KV Kajang, Muhammad Fahrin Shahrin Mohd. Yusri, 17, berkata, perkembangan pesat sektor industri di negara ini membuktikan bahawa kemahiran teknikal semakin diperlukan.

Menurutnya, dia memilih TVET atas dasar minat dan percaya bidang tersebut mampu membuka laluan kerjaya pada masa hadapan.
“Saya mula menyedari minat terhadap bidang kemahiran sejak berusia 12 tahun dan yakin TVET boleh membawa saya lebih jauh dalam kerjaya.
“Bidang ini bukan sahaja membolehkan seseorang bekerja dalam pelbagai sektor, malah berpotensi untuk membuka perniagaan sendiri kerana skopnya yang sangat luas,” katanya.
Fahrin Shahrin berkata, pendekatan pembelajaran yang lebih menekankan latihan praktikal berbanding teori memudahkan pelajar memahami sesuatu kemahiran dengan lebih berkesan.
Katanya, graduan TVET juga mempunyai kelebihan dalam pasaran kerja kerana telah dilatih mengikut keperluan industri.
“Sekarang dunia pekerjaan banyak memerlukan tenaga kerja berkemahiran.
“Sebab itu TVET menjadi satu pilihan yang relevan dan mempunyai prospek yang baik,” katanya.
Menurut Muhammad Fahrin, persepsi masyarakat terhadap TVET turut berubah apabila semakin ramai menyedari nilai dan potensi laluan pendidikan tersebut.
Seterusnya, seorang lagi pelajar KV Kajang, Alif Aiman Rosazam, berkata, minat terhadap kerja-kerja berbentuk hands-on mendorongnya memilih aliran TVET.

Katanya, dia mula mengenali TVET ketika berusia 15 tahun selepas mendapat pendedahan daripada guru-guru di sekolah lamanya.
“Saya memang minat kerja amali sejak kecil dan suka melakukan aktiviti yang melibatkan kemahiran secara langsung.
“TVET memberi peluang kepada anak muda membina masa depan yang lebih cerah serta mencabar diri untuk meneroka bidang-bidang baharu yang berkaitan dengan kemahiran,” katanya.
Menurut Alif Aiman, pengalaman mengikuti latihan amali sepanjang pengajian membolehkannya mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dalam situasi kerja sebenar, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri.
“Saya menggalakkan lebih ramai pelajar mempertimbangkan TVET sebagai pilihan pendidikan kerana menawarkan peluang kerjaya yang luas.
“Bidang ini juga mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan negara bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor industri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi KV Kajang, Ts. Adam Othman berkata, sistem pembelajaran di kolej vokasional adalah lebih fleksibel kerana pelajar dinilai berdasarkan tahap kesediaan mereka untuk diuji, sekali gus memastikan mereka benar-benar menguasai sesuatu kemahiran sebelum lulus.

“Pelajar akan belajar sehingga mereka benar-benar bersedia untuk dinilai. Jika belum bersedia, guru akan terus membimbing sehingga mereka mencapai tahap kompeten,” katanya.
Menurutnya, pendekatan tersebut yang berasaskan latihan amali bukan sahaja memberi pendedahan kepada kemahiran teknikal seperti automotif serta penyejukan dan penyamanan udara, malah turut menekankan kemahiran insaniah termasuk komunikasi, disiplin dan kerja berpasukan.
“Pelajar juga dilatih cara berkomunikasi di tempat kerja serta mengurus pasukan, sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Tambah beliau, kaedah pembelajaran tersebut yang fleksibel dan selari dengan keperluan industri turut diperkukuh melalui pemetaan kurikulum dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).

“Kaedah ini membolehkan pelajar lebih bersedia sama ada untuk bekerja atau melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta memastikan mereka memiliki kemahiran yang diiktiraf dan memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata, graduan KV bukan sahaja memperoleh Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, malah berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma atau terus memasuki pasaran kerja.
“Ramai pelajar kita mampu melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, manakala sebahagiannya terus mendapat pekerjaan kerana sudah mempunyai asas kemahiran yang kukuh,” katanya.
Menurutnya, peningkatan penyertaan pelajar dalam bidang TVET menunjukkan generasi muda kini semakin menyedari kepentingan kemahiran dalam pasaran kerja, manakala sikap positif dilihat menjadi faktor utama kejayaan pelajar dalam bidang tersebut.
“Yang paling penting ialah sikap. Jika sikap baik, kemahiran akan lebih mudah dibentuk dan pelajar lebih mudah berjaya dalam kerjaya,” katanya. –UTUSAN









