PULAU PINANG: Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan World Women Empowerment Impact Award 2026 pada Majlis World Women Economic & Business Summit (WWEBS) di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Dengan pengiktirafan tersebut beliau telah menerima sebuah piala dan sijil kecemerlangan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Anugerah berprestij itu disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan teladan, sumbangan transformatif dan komitmen beliau dalam memperkasakan wanita serta memacu pembangunan inklusif dalam sektor pendidikan tinggi.
Menurut kenyataan UTeM, kepimpinan Massila turut menyumbang kepada pengukuhan kecemerlangan institusi, memperluaskan kerjasama industri-akademik serta membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk berkembang sebagai pemimpin, pencipta dan agen perubahan.
“Melalui pelbagai inisiatif dan advokasi yang dilaksanakan, beliau terus memberi inspirasi kepada generasi wanita baharu untuk memecahkan tembok halangan serta cemerlang dalam bidang yang secara tradisinya kurang diwakili golongan wanita,” menurut kenyataan itu.
Katanya, anugerah berkenaan turut mengiktiraf peranan beliau dalam memperjuangkan pendidikan tinggi sebagai pemangkin pemerkasaan masyarakat, selain sumbangan berterusan kepada pembangunan wanita di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Di bawah kepimpinan beliau, UTeM terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti awam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik negara serta berjaya mencipta pelbagai kecemerlangan di peringkat nasional dan global.
Malah, strategi kepimpinan yang diterapkan turut menyaksikan peningkatan pengambilan pelajar tertinggi dalam sejarah universiti selain melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang menjadi pilihan utama majikan pelbagai industri.
Massila juga memainkan peranan penting dalam memperkasa penyertaan wanita dalam bidang TVET menerusi pelaksanaan program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA).
Dalam perkembangan berkaitan, UTeM turut mencatat kejayaan apabila penilaian Talentbank membabitkan lebih 1,200 majikan industri menobatkan universiti itu dalam beberapa kategori utama termasuk pengiktirafan “6-Star Employer Choice”.
Menerusi Graduate Employability Index 2026 yang diumumkan Talentbank, UTeM turut disenaraikan dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara.
Turut hadir meraikan kejayaan itu ialah Penolong Naib Canselor Strategik dan Kelestarian Global, Profesor Madya Dr Musthafah Mohd Tahir; Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Profesor Ts Dr Mohd Sanusi Azmi; Dekan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya Dr Nadlene Razali dan Pengarah Pusat Hubungan Strtaegik Korporat dan Global (UGLOBE), Hazman Hasib.
Antara pengiktirafan lain yang pernah diterima Massila ialah World Responsible AI Leadership Award 2025, World Distinguished Women Leader Lifetime Achievement Award 2024, Anugerah Personaliti Pendidikan Transformatif Cemerlang Asia, Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET), Outstanding Education Icon Leadership Excellence Award 2025 dan Anugerah Kepimpinan Ikon Pendidikan Malaysia 2026.-UTUSAN










