PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengagihkan pendapatan dana harga tetapnya, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) berjumlah RM480 juta, bersamaan 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, berbanding 5.25 sen seunit pada tahun sebelumnya.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, agihan pendapatan melibatkan 354,651 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 9.85 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.50 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.05 peratus, dengan kelebihan 345 mata asas.
“Sehingga 22 Jun 2026, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM568 juta,” katanya dalam kenyataan.
PNB berkata, agihan dividen yang lebih tinggi mencerminkan prestasi yang berdaya tahan di tengah persekitaran pelaburan global yang mencabar, dipacu oleh ketidaktentuan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang meningkat serta ketidaktentuan pasaran yang berterusan.
Katanya, agihan yang lebih kukuh ini disokong oleh pendekatan pelaburan yang berdisiplin serta keupayaan dana memanfaatkan peluang yang terhasil daripada kepimpinan pasaran yang dipacu teknologi.
“Prestasi ini mencerminkan komitmen berterusan PNB dalam menyampaikan pendapatan yang mampan serta nilai jangka panjang kepada pelabur bumiputera melalui pengurusan pelaburan yang berdisiplin dan proaktif.
“Sepanjang tahun kewangan, dana terus menjana sebahagian besar pendapatan daripada keuntungan direalisasikan dan pendapatan dividen merentasi portfolio ekuiti domestik dan global yang pelbagai.
“Seiring dengan perubahan keadaan pasaran, dana turut memperkukuh peruntukan dalam aset pendapatan tetap bagi meningkatkan kestabilan pendapatan serta daya tahan portfolio,” ujarnya.
Sementara itu, PNB berkata, pemegang unit yang telah memilih pengaturan Khultah (Kelas B) akan menerima dividen bersih selepas zakat, dengan potongan sebanyak 2.57 peratus ke atas dividen tersebut, menjadikan anggaran dividen bersih sebanyak 5.36 peratus berdasarkan kadar agihan yang diisytiharkan sebanyak 5.50 peratus.
Tambahnya, pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut dan pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2026.
“Urus niaga bagi ASB 3 Didik di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 26 hingga 30 Jun 2026 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.
“Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB (www.myasnb.com.my), aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2026,” jelasnya. –UTUSAN










