Dakwaan pelajar masuk universiti ikut ‘pintu belakang’ amat berat - Zambry

Dakwaan pelajar masuk universiti ikut ‘pintu belakang’ amat berat – Zambry

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui ‘pintu belakang’ merupakan satu tuduhan berat dan perlu disokong dengan bukti kukuh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan nama baik universiti awam, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.

Katanya, naratif yang cuba dibina seolah-olah peluang pelajar layak dirampas oleh pihak tertentu demi kepentingan kewangan turut memberi implikasi besar terhadap persepsi ibu bapa dan pelajar.

“Apa yang dibangkitkan baru-baru ini, termasuk dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam melalui apa yang disebut sebagai ‘pintu belakang’, serta gambaran bahawa sistem pendidikan tinggi negara sedang mengalami ‘kecelakaan’, merupakan tuduhan yang amat berat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan sewajarnya terhadap Exco Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah berhubung kenyataannya mengenai sistem kemasukan ke universiti awam.

Kenyataan itu dibuat menerusi ucapan yang disiarkan di Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.

Haim Hilman mendakwa, isu berkenaan bukan lagi sekadar persepsi apabila kemasukan melalui saluran terbuka dilaporkan melibatkan kira-kira 11,860 pelajar setahun atau hampir 40,000 pelajar bagi satu kitaran pengajian empat tahun.

Beliau turut mempersoalkan saluran berkenaan ketika lebih 30,000 pemohon UPU bagi kemasukan ijazah sarjana muda pada 2025 tidak menerima tawaran walaupun layak bersaing berdasarkan merit.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, sistem kemasukan ke universiti awam dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas, telus serta berasaskan merit dan syarat kelayakan ditetapkan.

Beliau berkata, universiti awam sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi diberikan secara adil kepada pelajar yang memenuhi syarat.

Katanya, sekiranya benar terdapat puluhan ribu pelajar memasuki universiti melalui saluran tidak sah atau menyalahi peraturan, pihak yang membuat dakwaan itu perlu mengemukakan fakta dan bukti.

“Tuduhan sebesar ini tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang pembuktian.

“Dalam dunia akademik, angka bukan sekadar angka. Setiap angka yang disebut mesti mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya,” katanya.

Menurut Zambry, beberapa universiti awam telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan itu bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi memastikan setiap tuduhan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa terbuka menerima kritikan konstruktif bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara.

Bagaimanapun, kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan yang tidak berasaskan fakta.

“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta, analisis disokong dengan data dan tuduhan yang serius mestilah disertakan dengan bukti kukuh.

“Jika bukti itu tidak dapat dikemukakan, pihak yang membuat tuduhan perlu bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN