Hujan lebat dipercayai punca ikan mati di Tasik Taman Danau Kota

Hujan lebat dipercayai punca ikan mati di Tasik Taman Danau Kota

PEKERJA pembersihan sedang membersihkan Tasik Taman Danau Kota, Kuala Lumpur. - Ihsan DBKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejadian ikan mati di Tasik Taman Danau Kota dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menjejaskan kualiti air dan menyebabkan kandungan oksigen terlarut menurun.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, hujan lebat turut menyebabkan kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik melalui sistem saliran.

Katanya, keadaan tersebut boleh memberi kesan kepada hidupan akuatik sehingga menjejaskan kelangsungan hidup ikan.

“Berdasarkan pemerhatian awal, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut dalam air, perubahan kualiti air serta kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan ribuan ikan ditemukan mati di Tasik Danau Kota, Setapak sehingga kawasan rekreasi di sekeliling tasik dipenuhi bau busuk dan menjejaskan keselesaan pengunjung.

Kejadian itu turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai selepas rakaman dan gambar bangkai ikan yang terapung di permukaan air tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan serta kualiti air tasik berkenaan.

Mengulas lanjut, DBKL berkata, pihaknya telah melaksanakan kerja pembersihan ikan mati serta memasang perangkap sampah di saluran masuk tasik.

Katanya, pensampelan air bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan juga telah dilaksana pada 16 Jun lalu bagi menganalisis kualiti air dan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan awal dan pemantauan di lokasi telah dilaksanakan bagi memastikan langkah kawalan bersesuaian dapat diambil.

“DBKL akan terus memantau keadaan tasik dan melaksanakan tindakan susulan yang diperlukan bagi memastikan kawasan rekreasi ini kekal bersih, selamat dan selesa untuk kegunaan warga kota,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN