KOTA BHARU: Pas Terengganu menawarkan calon Perdana Menteri dari negeri itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat mentadbir pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Perwakilan Pas Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, tawaran itu berpandukan kepada pencapaian dan kejayaan yang telah diraih di negeri berkenaan.
“Jika dipersetujui, PAS Terengganu ingin menawarkan calon Perdana Menteri daripada negeri ini.
“Kita bukan sekadar memainkan politik identiti, tetapi kita juga mampu membuktikan PAS mempunyai keupayaan untuk mentadbir dengan baik serta menunjukkan prestasi yang terbaik,” katanya semasa perbahasan ucapan dasar Presiden ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Wan Mat turut mencadangkan supaya Muktamar Tahunan Pas Ke-73 di adakan di Terengganu pada tahun hadapan.-UTUSAN










