WARSAW: Seorang doktor Poland telah ditahan selepas 34 janin manusia ditemukan ditanam di taman rumah lamanya di sebuah kediaman peribadi di tenggara Poland, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Magdalena H, seorang pakar patologi perubatan berusia 57 tahun yang tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini disyaki menggunakan janin tersebut untuk menjalankan eksperimen dan kini berdepan hukuman penjara sehingga 12 tahun.
Suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa di Zamosc, timur Poland, pada 12 Jun lalu.
Kes itu telah mencetuskan kontroversi besar di Poland dengan ramai pihak mempersoalkan bagaimana dia memperoleh janin itu di sebuah negara yang mempunyai antara undang-undang pengguguran kandungan paling ketat di Eropah.
Bagaimanapun, jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, setakat ini tiada bukti bahawa dia memperoleh janin-janin tersebut melalui pengguguran haram.
Setakat ini, pihak penyiasat masih menjalankan siasatan terperinci bagi menentukan sama ada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai rangkaian lain.
“Berdasarkan siasatan setakat ini, bahan-bahan tersebut ditemukan ketika kerja-kerja mengorek tanah dilakukan di hartanah itu.
“Di sebalik sisa lambakan itu, terdapat janin manusia dan sisa lain yang dipercayai merupakan fragmen janin pada peringkat awal perkembangan,” kata pendakwa raya, Krzysztof Ciechanowski.
Menurut laporan Radio Eska, Magdalena H. mengaku kepada penyiasat bahawa dia telah mengambil janin-janin yang telah mati dari sebuah hospital ketika era pandemik Covid-19 untuk dijadikan bahan kajian perubatan peribadi di rumahnya.
Selepas selesai melakukan ‘ujikaji’, suspek didakwa memasukkan sisa janin itu ke dalam guni sebelum menanamnya di kawasan terbabit.
Selain janin, pihak polis turut menemukan pelbagai peralatan klinikal termasuk tiub ujian, bekas khas, slaid mikroskop dan beberapa dokumen penting yang dipercayai merupakan rekod rasmi hospital. – AGENSI










