BATU PAHAT: Tuduhan bahawa Barisan Nasional (BN) ‘mengitar semula’ calon untuk ditampilkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan mengganggu gerak kerja parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan sedemikian hanyalah naratif ‘lapuk’ yang sering diulang dalam pilihan raya.
“Ia adalah lumrah buat manusia apabila berada dalam keadaan marah, segala yang baik sebelum ini boleh berubah, emosi menguasai pertimbangan sehingga perkara kecil turut dipersoalkan secara berlebihan.
“Apabila seseorang berada dalam keadaan marah, apa sahaja perkara boleh diungkapkan tanpa pertimbangan rasional dan mudah disalah tafsir.
“Apa yang perlu ditekankan adalah semua isu yang timbul perlu ditangani secara berhemah agar tidak menjejaskan fokus BN menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan DUN Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, Jalan Tan Sri Mohamad-Tongkang Pechah, hari ini.
Sebelum ini, penyandang kerusi DUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa BN dan UMNO menampilkan ramai calon ‘kitar semula’ serta tidak mencerminkan aspirasi anak muda pada PRN Johor kali ini. – UTUSAN










