SEREMBAN: Penyertaan bekas ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan dari PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd. Malek ke dalam Pas baru-baru ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan dari 2018 hingga 2023 itu ketika ditanya pemberita bagaimanapun menyerahkan tanda tanya itu kepada kepemimpinan Pas untuk membuat keputusan.
“Saya masih kekal sebagai ahli biasa, sebagai menghormati adab. Terpulang kepada pimpinan sama ada saya akan bertanding ataupun tidak.
“Setakat ini saya tidak boleh mendahului keputusan yang akan dibuat oleh kepimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Ceramah Umum dan Majlis Pelancaran Logo PRN Pas Nismilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan di sini hari ini.
Mohamad Rafie berkata, fokus utama Pas ketika ini adalah kepada usaha membawa perubahan dalam pentadbiran negeri serta memastikan Negeri Sembilan kekal berada pada landasan lebih progresif dan harmoni.
Katanya, rakyat perlu menilai keperluan perubahan khususnya dalam konteks pentadbiran negeri bagi memastikan ia terus maju dan lebih ke hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa semua parti politik perlu kembali kepada tujuan asal iaitu berkhidmat kepada rakyat dan negara, bukan menjadikan politik sebagai medan perpecahan.
Katanya, tumpuan utama semua pihak seharusnya diberikan kepada masa depan rakyat, khususnya golongan muda, yang bakal berdepan cabaran ekonomi dan perubahan dunia yang semakin kompleks. – UTUSAN










