KLUANG: Hanya dua gabungan politik dijangka dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua gabungan itu adalah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kedua-duanya bertanding di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, Pas pula hanya bertanding di 11 kerusi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula di 16 kawasan sahaja, ia menandakan Perikatan Nasional (PN) dari dua parti itu hanya bertanding di 27 DUN.
“Pas, Bersatu bercantum pun tetap tidak boleh tubuhkan kerajaan, yang boleh tubuh adalah BN dan PH. Sekiranya PN menang dan pada masa sama mereka bergaduh sesama sendiri ia akan menjejaskan rakyat.
“Pas kata tak nak sokong Bersatu, Bersatu pula kata terpulang, ini maknanya mereka terpaksa pakai logo PN kerana waktu sudah suntuk. Mereka tidak mahu bekerjasama, bermakna mereka tidak akan membentuk kerajaan negeri bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau menghadiri Karnival Hari Keluarga Kita Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di X Park Impiana 2 Square, Bandar Sri Impian.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, rakyat Johor memerlukan kerajaan yang kuat untuk menangani cabaran yang wujud dan menyambung semula kerja-kerja yang dijalankan kerajaan terdahulu.
“Ini supaya rakyat melalui pilihan raya boleh mendapat kebaikan, itu matlamat demokrasi. Jangan di salah guna sehingga kita tidak mencapai matlamat pilihan raya.
“Matlamat pilihan raya adalah kita nak keadaan lebih baik, mahu pilih kerajaan lebih baik. Kena ingat keadaan yang kita hadapi hari ini sangat kompleks,” katanya. – UTUSAN










