PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) kini sedang memuktamadkan senarai 56 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan memuktamadkan senarai akhir nama calon dalam tempoh terdekat.
“Kami akan mengumumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, semalam.
Difahamkan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dijangka melancarkan jentera BN bagi menghadapi PRN Johor pada Ahad ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Johor memaklumkan beliau akan mengadakan rundingan dengan Ahmad Zahid susulan keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo.
Bagaimanapun, selepas dua minggu kenyataan itu dibuat, tiada sebarang rundingan dilaporkan berlaku antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
Menteri Besar Johor itu memaklumkan, keputusan untuk bergerak secara solo telah mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing memenangi satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula meraih tiga kerusi, sementara MUDA memenangi satu kerusi.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai) pada PRN Johor nanti.
“BN juga akan mempertaruhkan lebih ramai muka baharu pada PRN Johor akan datang sebagai sebahagian usaha menyuntik nafas segar dalam landskap kepimpinan negeri itu.
“BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka-muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.
“Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan insya-Allah, kombinasi akan dilakukan antara pemegang jawatan sedia ada dan juga muka-muka baharu,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) berkaitan TVET di sini semalam, Ahmad Zahid berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua kementerian itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah menjadi pemangkin dalam memanfaatkan kepakaran anggota tentera selepas bersara.
Malah, kerjasama strategik itu dijangka menyediakan kira-kira 3,200 peluang pekerjaan kepada pesara tentera dalam masa terdekat untuk menceburi sektor pengangkutan dan logistik yang semakin berkembang.
Katanya, kerjasama itu dapat direalisasikan menerusi inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dikendalikan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).
“Inisiatif ini menjadi bukti keberkesanan pendekatan rentas kementerian dalam melaksanakan agenda pembangunan modal insan negara.
“Ini bukan sahaja menjadi game changer, malah antara perkara yang saya impikan ketika menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini,” katanya.- UTUSAN










