PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai hubungan antara kedua-dua parti itu.
Kandungan surat bertarikh semalam itu turut mengemukakan cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).
“Saya akan memberikan perhatian sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk diteliti.
“Bersatu mengulangi tekad dan iltizam untuk terus memelihara hubungan baik dengan Pas dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat esok yang akan diadakan bagi membincangkan kerjasama dengan Bersatu.-UTUSAN









