JOHOR BAHRU: Bangunan tambahan baharu Jabatan Kimia Malaysia Johor (KIMIA Johor) yang siap sepenuhnya awal tahun ini dengan peruntukan RM22.8 juta akan memperkukuh analisis forensik negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata bangunan tiga tingkat yang dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 itu menempatkan Makmal Kualiti Makanan serta Makmal Kualiti Air dan Alam Sekitar yang dilengkapi kemudahan analitikal moden.
Katanya, fasiliti itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan forensik berasaskan sains dan bukti selaras aspirasi Malaysia MADANI serta Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN).
“Kemudahan yang lebih baik ini boleh membantu dalam pembangunan ekonomi, khususnya Johor Bahru memandangkan bandar raya ini antara yang pesat membangun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan itu di KIMIA Johor, di sini hari ini.
Kimia Johor memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang analisis termasuk forensik jenayah, pemantauan alam sekitar.
“Dilengkapi dengan segala kemudahan moden dan canggih, Kimia Johor bersiap siaga berdepan insiden kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe).
“Antara peranan utamanya adalah menyokong analisis dalam siasatan jenayah berprofil tinggi, pemprosesan dadah, pencemaran alam sekitar dan penggunaan bahan berbahaya,” katanya.
Mengenai situasi kementerian berdepan krisis bekalan global, beliau berkata, Malaysia perlu mempergiatkan lagi usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) transisi tenaga.
Katanya, krisis tersebut perlu menjadi pengajaran kepada semua negara dalam menekankan aspek ‘kedaulatan teknologi’ dan mengambil iktibar daripada pandemik Covid-19 yang menyaksikan beberapa negara berupaya mencipta vaksin sendiri.
“Malaysia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada teknologi daripada negara luar dan perlu terus bergerak kehadapan seiring kemajuan teknologi.
“Ketika negara diuji dengan pandemik sebelum ini, kita terpaksa bergantung kepada negara lain yang ada keupayaan untuk membuat vaksin,” katanya.










