Bakat dihina tak mengapa, jangan rupa - Viviana Zairi - Utusan Malaysia

Bakat dihina tak mengapa, jangan rupa – Viviana Zairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas peserta Talk To My Managger musim ke-2(TTMM2), Viviana Zairi meluahkan rasa kesal dengan komen-komen berbaur penghinaan yang diterimanya di media sosial.

Kata Viviana atau nama penuhnya Wirda Viviana Zairi, malah lebih teruk lagi apabila individu terbabit, yang menggunakan akaun palsu, menghina dan mengutuk wajahnya.

“Saya memang terkesan dengan penghinaan itu. Saya ini perempuan, kadang-kadang akan sensitif.

“Saya sedih kerana mereka menghina rupa saya. Wajah saya ini adalah hasil gabungan genetik ibu dan ayah saya, insan-insan yang saya cinta.

“Bakat dihina, tak mengapa. Tapi jangan sesekali hina rupa fizikal saya. Saya sensitif sikit pasal ini.

“Saya tak cantik, tidak menjadi masalah. Tapi janganlah menghentam fizikal saya,” katanya ketika ditemui selepas konsert Big Stage x Rocketfuel, semalam.

Terdahulu, Viviana meluahkan rasa kesal apabila segelintir individu bertindak menghina rupa parasnya di media sosial.

“Saya sedih membaca komen itu. Saya tak sangka sampai ke tahap tersebut, sampaikan memaki saya menuduh saya ini pelacur dan sebagainya, itu sudah melampau.

“Tak wajar hanya kerana kita menari di atas pentas, kita digelarkan begitu. Perkara itu tidak patut berlaku,” kongsinya.

Viviana dalam pada itu meluahkan rasa lega apabila luahan di media sosial menerima reaksi positif daripada netizen.

“Saya memuat naik kenyataan ringkas di laman Thread bukan semata-mata untuk diri saya sendiri, malah buat setiap orang yang melalui perkara yang sama. Kenyataan itu hanyalah sekadar luahan yang ringkas dan padat.

“Apa pun Alhamdulillah saya menerima komen yang positif daripada ramai orang yang menyayangi saya,” ujarnya.

Anak kepada Ani Mayuni itu bagaimanapun memohon maaf kerana kenyataannya itu menimbulkan pelbagai spekulasi.

“Saya tak jangka perkonsian itu akan menjadi tular. Mungkin kesilapan saya apabila kenyataan itu menimbulkan pelbagai spekulasi, membuatkan netizen berteka-teki siapa gerangan yang memaki saya di media sosial itu.

“Tak perlulah kita mencari orangnya, cukuplah sekadar saya seorang sahaja yang kenal siapa dia. Bahkan ibu dan ayah saya juga tidak kenal siapa dia.

“Dia sekadar orang tidak dikenali, yang mungkin peminat tegar kepada seseorang artis,” ujarnya lagi.

Penyanyi berusia 21 tahun itu dalam pada itu mendapati penghinaan yang diterimanya itu berpunca kepada rasa tidak puas hati individu tersebut terhadap pembabitannya dalam TTMM2.

“Pengguna akaun yang sama namun bertukar-tukar akaun media sosial, melayangkan ugutan beberapa kali. Rupanya dia tidak puas hati kerana saya tercalon dalam TTMM2.  Rupanya dia tak suka saya tercalon dalam Big Stage.

“Menang atau tidak, semuanya rezeki daripada Allah. Saya selepas pertandingan itu hanya meneruskan kehidupan seperti biasa,” kongsinya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN