KUALA LUMPUR: UMNO tidak mempunyai kaitan dengan tamatnya hubungan politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap kali timbul sesuatu isu melibatkan parti lawan atau pembangkang, UMNO sering dikaitkan sebagai punca di sebalik perbalahan yang berlaku.
“Asalkan dia tak tuduh UMNO yang buat. Sebab tiap kali nanti (berlaku isu) kata UMNO punya kerja. UMNO baiklah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2026 di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai hubungan politik antara Pas dan Bersatu yang secara rasmi telah ditamatkan berkuat kuasa malam tadi.
Pas mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negara menjelang pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat selepas mengambil kira keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti. – UTUSAN










