Apa status PN? - Utusan Malaysia

Apa status PN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status Perikatan Nasional (PN) menjadi tanda tanya selepas Pas bertindak memutuskan kerjasama politiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan memandangkan kedua-dua parti merupakan pengasas kepada gabungan itu sejak Ogos 2020, sebelum disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Februari 2021 dan diikuti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada April 2024.

Setakat ini, hanya Bersatu mengesahkan kedudukannya dalam PN kekal, manakala majoriti pimpinan tertinggi Pas yang dihubungi Utusan Malaysia hanya memaklumkan bahawa ia akan diputuskan kelak.

Malah, kenyataan rasmi Pas yang ditandatangani Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat kelmarin juga langsung tidak menyentuh kedudukan mereka dalam gabungan itu.

“Menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Dan menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai Pas,” kata Abdul Hadi.

Di pihak Bersatu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan kekal dalam PN dibuat atas kapasiti sebagai parti pengasas kepada kewujudan PN.

Katanya, Bersatu akan memperkasa agenda prihatin rakyat yang dibawa PN sejak penubuhannya serta mendukung hasrat rakyat yang mahukan perubahan serta kepimpinan mewakili aspirasi seluruh warga Malaysia.

“Ahli parti dan rakan se­perjuangan harus fokus kepada usaha memperkukuhkan PN. Setiap lapisan pimpinan dan ahli mesti terus meletakkan kepen­tingan rakyat sebagai fokus utama malah lebih bersemangat dengan ujian terbaru ini.

“Saya yakin rakyat yang mendukung cita-cita PN akan terus istiqamah bersama-sama kita,” katanya.

Memberi respons kepada ke­putusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, Muhyiddin berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan tersebut.

Katanya, kerjasama dengan Pas dibina atas semangat dan persefahaman yang luhur, namun dihentikan.

“Keputusan menghentikan kerjasama politik dan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah atas kehendak Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Bersatu turut menuntut jawatan Pengerusi PN yang kini disandang Naib Pre­siden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dikembalikan kepada Muhyiddin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin berkata, keputusan Pas menamatkan kerjasama politik de­ngan Bersatu membuka lembaran baharu dalam perjalanan PN.

Katanya, ketika ini, PN tidak memerlukan retorik yang membakar emosi, sebaliknya seorang pemimpin yang mampu menya­tukan, menenangkan keadaan dan membina semula kekuatan gabungan dengan berpaksikan prinsip serta matlamat lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti.

“Sebab itulah ramai melihat bahawa sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali memimpin PN sebagai Pengerusi.

“Sejak penubuhan PN, Tan Sri Muhyiddin bukan sekadar seorang pengasas. Beliau adalah titik temu yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.

“Dalam suasana politik yang sering dipenuhi persaingan ego dan perebutan pengaruh, beliau memilih pendekatan sederhana, inklusif dan berteraskan musyawarah,” katanya.

Sementara itu, Pas pula dilihat konsisten membawa naratif bahawa tindakan memutuskan kerjasama dengan Bersatu adalah demi penyatuan ummah.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Bersatu mengambil sikap menentang kemasukan parti seperti Berjasa, Pejuang, Iman dan Putra ke dalam PN, walaupun kertas cadangan sudah disiapkan.

Katanya, ia merupakan perkara paling utama bagi perjuangan Pas iaitu penyatuan ummah.

“Tindakan tersebut jelas me­rosakkan gagasan penyatuan yang dihasratkan selama ini,” katanya.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, jika Pas terus bersama Bersatu, ia hanya menjaga kepen­tingan kelompok tertentu dan bukannya kepentingan ummah.

Katanya, Bersatu tidak me­nerima kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, sedangkan Pas berpendirian, menerima kemasukan parti lain dapat memenuhi jalan untuk penyatuan ummah.

“Jalan inilah yang dihalang oleh Bersatu. Terlihat jelas, kepentingan kelompok, lebih mereka utamakan berban­ding kepentingan ummah. Sikap dan gelagat Bersatu dalam ba­nyak kemelut politik sebelum ini memperlihatkan mereka lebih utamakan kepentingan kelompok tertentu,” katanya.

Di negeri-negeri ditadbir PN, setakat semalam, pentadbiran kerajaan negeri berlangsung seperti biasa tanpa pengumuman pengguguran mana-mana ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Di Terengganu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan susulan dan pendirian yang diambil di peringkat negeri.

Di Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dua Exco Bersatu, Datuk Mohd. Salleh Saidin dan Datuk Halimaton Shaadiah Saad akan terus menjalankan tugas seperti biasa.

Di Perlis, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah juga menegaskan, pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas.

Di Kelantan pula, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu, Datuk Kamarudin Md. Nor menyerahkan nasibnya sebagai Exco kepada Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Dalam pada itu, Presiden Ge­rakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya me­nunggu penjelasan lanjut daripada Pas dan Bersatu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami menghormati peranan serta sumbangan Pas dan Bersatu dalam PN. Pada peringkat ini, Gerakan akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum mengulas lebih lanjut mengenai perkembangan terkini tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN