PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian bekas Presiden Timor-Leste, Francisco Guterres, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, Guterres yang meninggal dunia pada usia 71 tahun merupakan sebahagian daripada generasi yang memperjuangkan dan memperoleh kemerdekaan bagi Timor-Leste.
“Beliau menghabiskan bertahun-tahun dalam gerakan penentangan, sehingga dikenali sebagai Lú-Olo dan kemudian berkhidmat kepada negaranya sebagai Presiden Parlimen Nasional serta Ketua Negara.
“Sepanjang perjalanan tersebut, beliau kekal teguh memperjuangkan kebebasan rakyatnya dan pembinaan sebuah negara yang demokratik,” katanya hari ini.
Anwar berkata, Malaysia bersama rakyat negara itu turut berkabung atas pemergian mendiang.
“Jasa dan sumbangannya akan sentiasa dikenang di negara ini dengan penuh hormat dan penghargaan,” katanya. – UTUSAN










