PRN Johor: 73 individu tawar diri jadi calon Bersama - Utusan Malaysia

PRN Johor: 73 individu tawar diri jadi calon Bersama

RAFIZI Ramli ketika berucap pada siri Jelajah Kancil ke Pahang di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 73 individu menawarkan diri untuk menjadi calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung 11 Julai ini.

Pemimpinnya, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, proses pemilihan calon sudah selesai dan senarai rasmi akan diumumkan Jumaat ini.

“Kita menerima lebih kurang 73 permohonan dan proses pemilihan sudah selesai. Jadi kita akan mengumumkan dan memperkenalkan calon pada Jumaat. Kita umum (lambat) sebab hendak ikut proses Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara berpusat… maksudnya semua urusan seperti borang dan deposit kita mahu selesaikan terlebih dahulu.

“Kedua, ia juga strategi dan pihak lain sibuk umum calon, jadi kita tunggu semua selesai dan umum paling akhir.. ini juga ada nilai kejutan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Kancil ke Pahang yang diadakan di Indera Mahkota di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pengumuman tentang penyertaan Bersama pada PRN Johor akan dibuat secara berperingkat.

Jelasnya, pendekatan itu dipilih kerana maklumat yang didedahkan mempunyai kaitan dengan perancangan parti bagi menghadapi pilihan raya.

“Sebab itu kita akan buat secara berperingkat iaitu berapa kerusi kita bertanding dan kerusi mana kita bertanding itu adalah petunjuk kepada bagaimana Bersama ingin meletakkan kedudukannya dalam arena politik,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, diikuti dengan hari pengundian awal pada 7 Julai, manakala hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN