18 orang hilang, 54 cedera selepas letupan gegar hab LNG Qatar - Utusan Malaysia

18 orang hilang, 54 cedera selepas letupan gegar hab LNG Qatar

LETUPAN berlaku di zon perindustrian Ras Laffan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Satu letupan di sebuah kilang di Qatar menyebabkan 54 orang cedera dan 18 lagi hilang, menurut Kementerian Dalam Negeri negara Teluk itu pada Isnin.

Satu insiden teknikal telah menyebabkan letupan tersebut pada Ahad di zon perindustrian Ras Laffan, Qatar, kata kementerian itu sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan operasi mencari mereka yang hilang.

Seorang wartawan AFP yang berada kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian melihat api menjulang menerangi langit malam serta kepulan asap naik dari kawasan itu, yang menempatkan hab gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia.

Ras Laffan sebelum ini telah mengalami kerosakan teruk akibat perang Amerika Syarikat (AS)-Iran, apabila serangan Iran menyasarkan infrastruktur tenaga di rantau Teluk dan memaksa Qatar menghentikan pengeluaran gas.

Syarikat milik kerajaan, QatarEnergy, berkata letupan itu berlaku semasa permulaan semula operasi di Bandar Perindustrian Ras Laffan, yang mengakibatkan letupan dan kebakaran di kemudahan bekalan gas tempatan Barzan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Qatar, pasukan pertahanan awam telah mula mengendalikan insiden tersebut.

Ia menyifatkan kejadian itu sebagai letupan dalaman, sebelum menjelaskan dalam kenyataan susulan bahawa ia berpunca daripada kerosakan teknikal.

“Seramai 54 orang mengalami kecederaan dalam insiden yang berlaku di sebuah kilang di Bandar Perindustrian Ras Laffan,” kata kementerian itu menerusi platform X pada Isnin, sambil menambah bahawa pihak berkuasa sedang mencari 18 individu yang masih hilang.

Qatar yang merupakan antara pengeluar utama LNG dunia bersama AS, Australia dan Russia, menghentikan pengeluaran LNG pada 2 Mac selepas serangan dron Iran mengenai kemudahan-kemudahan pentingnya.

Kerosakan tambahan akibat serangan pada 18 Mac pula dijangka mengurangkan kapasiti eksport LNG sebanyak 17 peratus dan memerlukan antara tiga hingga lima tahun untuk dibaik pulih, kata Menteri Tenaga Qatar, Saad Al-Kaabi, pada waktu itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN