DENGKIL: Kerajaan menafikan wujud sebarang arahan untuk menghalang mana-mana pihak termasuk kerajaan negeri daripada memasuki kawasan Felda bagi menjalankan program atau aktiviti tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan berhubung perkara itu tidak diketahuinya dan menegaskan kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan sebarang arahan seperti yang didakwa.
“Arahan tak ada. Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan. Negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh ni buat apa,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya terdapat halangan terhadap pihak tertentu untuk memasuki kawasan Felda sebagaimana yang turut dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak begitu memberi perhatian terhadap dakwaan berkenaan kerana kerajaan ketika ini lebih tertumpu kepada pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.
“Saya tak jelas, tak layan sangat dengan komen-komen ini. Kita banyak kerja kita. Ada siapa yang dihalang? Tapi kalau saudara umpamanya ada rencana, jalan sajalah dengan baik. Ada masalah?” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa pihak yang sedang berkempen tidak seharusnya mengharapkan bantuan kerajaan Persekutuan bagi tujuan yang berkaitan dengan kempen pilihan raya.
“Tapi janganlah dalam keadaan ini, tengah dalam kempen, kamu nak minta kerajaan Persekutuan bantu. Tak bolehlah,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk On Hafiz Ghazi mendakwa beliau menerima arahan supaya tidak memasuki kawasan Felda dan tidak dibenarkan menghadiri beberapa program yang diadakan di tanah rancangan itu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut mempersoalkan tindakan berkenaan dan menegaskan bahawa beliau hadir ke kawasan Felda atas kapasiti sebagai Menteri Besar untuk menyantuni rakyat serta menyelesaikan isu-isu melibatkan peneroka.
Sebelum itu, Dr Muhamad Akmal mendesak Perdana Menteri supaya menjelaskan pihak yang sebenarnya menghalang Menteri Besar Johor masuk ke kawasan FELDA.
Desakan sama turut dibuat beliau terhadap Pengarah FELDA, selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada mengeluarkan atau halangan sedemikian. – UTUSAN










