PETALING JAYA: Pemimpin kanan PKR mempertahankan keputusan menggantung akses sistem MyKhas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen oleh kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Bryan Ng Yih Miin berkata, penggantungan akses tersebut bukan disebabkan kesilapan pentadbiran atau tindakan yang menyasarkan individu tertentu, sebaliknya merupakan kesan institusi susulan pendirian politik yang diambil mereka.
Malah, beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai akibat daripada pilihan politik yang dibuat kedua-dua wakil rakyat berkenaan.
“Penggantungan akses MyKhas bukanlah kecuaian pentadbiran atau tindakan terpilih terhadap mana-mana individu.
“Ia adalah hasil institusi yang berpunca daripada keputusan politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, peruntukan Parlimen merupakan amanah rakyat, sekali gus tidak boleh digunakan bagi menyokong agenda politik yang boleh melemahkan kedudukan kerajaan sedia ada.
Tegas Bryan lagi, kedua-dua Ahli Parlimen terbabit tidak boleh menyertai platform politik yang dilihat mencabar kerajaan sambil terus menuntut akses kepada sumber dan kemudahan yang disediakan Kerajaan Persekutuan.
“Sekatan akses portal MyKhas yang dihadapi oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, bukanlah satu bentuk penganiayaan, sebaliknya adalah akibat langsung daripada pilihan politik mereka sendiri.
“Kamu tidak boleh memilih untuk bersama dengan pihak yang mahu menumbangkan kerajaan, dan dalam masa yang sama menuntut dana daripada kerajaan tersebut. Ini soal prinsip dan akauntabiliti,” katanya.
Bagaimanapun, Bryan memberi jaminan bahawa kebajikan penduduk di kawasan Petaling Jaya dan Subang tidak akan terjejas susulan tindakan tersebut.
Dalam pada itu, beliau mendakwa kedua-dua wakil rakyat berkenaan cuba menggambarkan diri mereka sebagai mangsa keadaan walaupun didakwa telah menunjukkan kecenderungan politik yang jelas sejak enam bulan lalu.
“Saya merujuk kepada kehadiran mereka pada majlis pelancaran Parti Bersama Malaysia pada 17 Mei lalu, sebuah platform politik baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Secara jelas, platform tersebut diwujudkan bagi mencabar kedudukan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.
“Bahkan Wong Chen secara terbuka telah menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menggunakan tiket parti baharu itu dan bukannya PKR. Dengan menyelaraskan diri mereka bersama platform politik yang bersaing, mereka secara tidak langsung telah mengkhianati mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.
Katanya lagi, adalah tidak munasabah dari sudut politik bagi Kerajaan Perpaduan menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang didakwa bergerak menentang kerajaan.
Mengulas lanjut, Bryan berkata, kemenangan PH di kerusi bandar seperti Petaling Jaya dan Subang bukan semata-mata bergantung kepada populariti individu, sebaliknya hasil kekuatan jentera parti dan usaha kolektif akar umbi.
“Kemenangan beliau banyak dipengaruhi oleh platform PH serta kerja keras jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya.-UTUSAN










